Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Jumlah pelancong asing berkunjung ke Taman Negara menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak 2022 sehingga 2024.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, jumlah ini disokong melalui nilai kutipan Fi Kelestarian di daerah Jerantut pada tahun terlibat.
“Kenyataan bahawa jumlah pelancong asing merosot ke Taman Negara adalah tidak benar. Jumlah pelancong yang berkunjung ke Daerah Jerantut menunjukkan pemulihan secara berperingkat sepanjang tiga tahun terkini. Pada tahun 2022, jumlah ketibaan pelancong adalah seramai 45,084 orang. Jumlah ini meningkat kepada 48,380 orang pada tahun 2023, dan terus meningkat pada tahun 2024 dengan jumlah pelancong seramai 50,507 orang pada tahun 2024. Rekod tersebut menunjukkan pertumbuhan yang konsisten.
“Manakala bagi Taman Negara, Kuala Tahan, jumlah ketibaan pelancong untuk tiga tahun terkini juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Pada tahun 2022, sebanyak 68,840 orang pelancong direkodkan, sebelum melonjak kepada 128,592 orang pada tahun 2023 dan terus meningkat kepada 135,435 orang pada tahun 2024, mencerminkan daya tarikan berterusan kawasan pelancongan alam semula jadi ini.
“Data ini disokong dengan kutipan Fi Kelestarian yang diterima daripada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Pahang bagi daerah Jerantut menunjukkan trend meningkat daripada tahun 2022 sebanyak RM208,461, tahun 2023 (RM273,300) dan tahun 2024 (RM302,338),” katanya.
Tambah beliau, isu ketiadaan pengangkutan awam ke Taman Negara, Kuala Tahan bukanlah punca kemerosotan kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan.
“Kerajaan Negeri mengambil maklum isu pengangkutan awam untuk ke Taman Negara, Kuala Tahan. Buat masa sekarang terdapat dua mod pengangkutan utama untuk ke Taman Negara iaitu menggunakan laluan darat dan air.
“Kebanyakan pelancong asing yang mahu ke Taman Negara akan menempah pakej daripada agensi pelancongan yang sudah menyediakan pengangkutan sendiri. Selain itu, dari bandar Jerantut pelancong juga boleh menaiki van persiaran yang dikendalikan oleh pihak syarikat swasta atau menaiki teksi.
“Manakala, pelancong tempatan kebanyakannya akan menaiki kenderaan sendiri ke Taman Negara. Bagi pelancong yang mahu menggunakan laluan air, terdapat juga perkhidmatan bot dari jeti Kuala Tembeling ke Taman Negara,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan meneruskan usaha bagi memperkenalkan pakej pelancongan meliputi semua destinasi pelancongan di negeri ini.
“Usaha akan diteruskan bagi memperkenalkan dan menggesa pengusaha pelancongan untuk menyediakan pakej pelancongan pelbagai jenis meliputi kesemua destinasi tarikan pelancongan di dalam daerah.
“Pakej pelancongan yang ditawarkan perlu meliputi pengurusan lawatan, kemudahan pengangkutan, penginapan, aktiviti, makanan dan sebagainya.
“Dengan pakej yang menarik, maka pelancong akan mempunyai pelbagai pilihan serta menginap lebih lama dan pergerakan ke destinasi lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

