Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Pelbagai program telah dirancang oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi meningkatkan pembangunan fizikal dan mental anak muda dan golongan belia di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ada di antaranya turut dianjurkan ke seluruh daerah dan disertai oleh agensi kerajaan yang lain.
“Sesungguhnya, terdapat banyak program khas yang dilaksanakan bagi memastikan belia dan anak muda di negeri ini mampu menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya yang melibatkan pembangunan fizikal dan mental.
“Pertama, Cabaran Mara Lasak Pahang 2025. la adalah salah satu program terkini yang dilaksanakan oleh Majlis Rekreasi Pahang dan Majlis Sukan Pahang bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan menguji ketahanan fizikal serta mental para peserta yang terlibat.
“Program seperti ini bukan sahaja menekankan pentingnya aspek kecergasan tubuh badan tetapi juga bagi membentuk karakter, ketahanan, dan semangat bekerjasama dalam kalangan anak muda,” katanya.
Beliau berkata Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang juga bertitah supaya Cabaran Mara Lasak Pahang yang dianjurkan pada Februari lalu di Ulu Dong turut dianjurkan di setiap daerah di negeri ini.
“Program pertama, Cabaran Mara Lasak Pahang ini telah dianjurkan pada Februari lalu di Ulu Dong yang turut diserikan dengan penyertaan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang yang sudi berkenan bercemar duli berlari sejauh lebih 10 kilometer sambil menempuhi pelbagai halangan serta rintangan termasuklah menyeberangi sungai jeram, mendaki bukit, melalui denai hutan dan macam-macam lagi.
“InsyaAllah, Cabaran Mara Lasak Pahang akan dianjurkan di setiap daerah sepertimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Program ini menjadi program pertama anjuran Majlis Rekreasi Pahang yang ditubuhkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti rekreasi dan lasak di negeri ini.
“Antara program yang dirancang di bawah Majlis Rekreasi Pahang ini adalah pendakian ke Gunung Kinabalu pada (24 – 29 April 2025), Ekplorasi Gunung Tahan (Jun 2025), Misi Menawan Gunung Kilimanjaro, Tanzania (September 2025), Program CSR di Gunung Semukut, Tioman (Oktober 2025) dan macam-macam lagi,” katanya.
Tambah beliau, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang merupakan penaung kepada Majlis Rekreasi Pahang.
“Manakala, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang adalah penasihat majlis ini,” katanya.
Menurut beliau, selain Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 yang berbentuk fizikal, banyak program lain turut dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan pembangunan belia dan anak muda.
“Program Jati Diri Atlet Pahang. Melalui program ini, pihak Majlis Sukan Pahang (MSP) akan bekerjasama dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia – 4 Briged Mekanize, Kuantan bagi membentuk ketahanan karakter dan jati diri di kalangan atlet-atlet Pahang. Program ini menyasarkan penyertaan seramai 600 orang atlet Pahang daripada pelbagai lapisan umur (12 hingga 21 tahun) yang majoritinya akan bertanding dalam temasya SUKMA di Selangor tahun depan.
“Kedua, Program Pemerkasaan Persatuan Belia Pahang (Youth Empowerment Society – YES Pahang). Melalui program ini, satu modul yang mencakupi pemantapan jati diri, pengukuhan semangat patriotism, sifat tahan lasak dan sebaginya telah dibangunkan untuk melahirkan generasi pemimpin pelapis belia yang berketahanan. Program ini juga direncanakan dengan mengutamakan nilai kepimpinan berkarismatik, kreatif dan berinovasi yang berteraskan kepada pembentukan kendiri dan sahsiah diri unggul agar anak muda ini terus dapat berdaya saing dalam mendepani pelbagai cabaran getir pada masa depan.
“Ketiga, Festival Belia Pahang sempena sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang. Festival ini adalah satu platform utama kepada anak muda untuk mengolah serta mengeskpresikan jaringan sosial dan jaringan institusi mereka terhadap masyarakat dan kepimpinan masa kini,” katanya.
Tambah beliau Kerajaan Negeri Pahang juga bercadang mengadakan program melalui aktiviti kesukarelawan dan juga kepimpinan bagi golongan muda di negeri ini.
“Program Sukarelawan Anak Muda Pahang In Action (SACTION). Program ini adalah merupakan salah satu wadah yang telah disediakan oleh kerajaan Negeri Pahang sebagai program penggalakan kepada anak muda untuk membentuk keperibadian dan keterampilan individu yang baik melalui aktiviti kesukarelawanan.
Kandungan modul pembangunan aktiviti kesukarelawanan terhadap anak muda ini turut memuatkan aktiviti perkhemahan yang menerapkan modul pemantapan jati diri berbentuk rekreasi alam, pendedahan kepada kemahiran asas kesukarelawanan serta ilmu berkomunikasi dengan masyarakat setempat agar mereka dapat melaksanakan misi kesukarelawanan dengan lebih berkesan di samping meningkatkan keyakinan mereka bersama khalayak ramai.
“Retreat Belia Pahang 2025. Retreat ini merupakan sebuah inisiatif strategik yang dirangka bukan sekadar sebagai latihan kepimpinan, tetapi sebagai pemangkin bagi melahirkan pemimpin belia yang berdaya tahan dan berkarisma. Program ini memberi fokus kepada pengukuhan fizikal, pemikiran strategik, semangat patriotisme dan kecintaan kepada negeri serta nilai kerjasama dalam kalangan pemimpin muda. Retreat yang bakal berlangsung selama tiga hari ini akan mengumpulkan seramai 100 orang pemimpin belia di bawah umur 30 tahun daripada Majlis Belia Daerah-Daerah serta badan gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

