Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Seramai 54 orang atlet negeri ini kini sedang mengikuti program sepenuh masa kebangsaan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan sebagai persediaan menyertai temasya Sukan Sea Thailand 2025 yang akan berlangsung pada 7 hingga 19 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, penglibatan atlet tersebut membuktikan negeri ini tidak ketandusan bakat sukan yang berkualiti dan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Katanya lagi, Majlis Sukan Pahang (MSP) juga sedang mempersiapkan atlet-atlet yang berkualiti untuk membawa cabaran menyertai SUKMA Selangor 2026 tahun hadapan.
“Kerjasama strategik seumpama ini bersama pemegang taruh adalah harapan dan batu loncatan menyemarakkan lagi kejayaan Kontinjen Pahang,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Selain itu YB. Tuan Fadzli juga berkata, banyak program telah dirangka Majlis Sukan Pahang, antaranya memperkasa kualiti kejurulatihan dan kepegawaian melalui penganjuran Kem Bina Insan dan Jati Diri Pegawai yang akan berlangsung pada Julai 2025 bertempat di Camp Site Survival Village Batalion Ke-12 RAMD Mekanize, di sini.
“Usaha ini bagi memastikan, selain atlet yang akan menyertai Kem Motivasi secara berkala, pihak pengurusan terutama pentadbir, penyelaras sukan dan semua jurulatih juga akan turut diberikan penekanan bagi meningkatkan kualiti pengurusan Majlis Sukan Pahang.
“Usaha, sokongan dan dukungan semua pihak yang terlibat amat diharapkan agar pembangunan sukan yang diharapkan tidak hanya menjadi agenda kerajaan negeri, malahan ianya menjadi tanggungjawab semua pihak,” katanya. -PAHANGMEDIA

