Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang merupakan satu-satunya negeri yang telah mengambil alih projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai dan menjenamakannya semula sebagai Rumah Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Kerajaan Negeri Pahang berani mengambil tanggungjawab ini meskipun menyedari bahawa projek ini bukan dimulakan oleh pihak kerajaan sendiri.
“Namun kita berani mengambil tanggungjawab demi memastikan projek Rumah Pahang dapat disiapkan dengan baik dan diserahkan kepada penerima yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Jasri Jamaludin dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, terdapat tiga projek Rumah Pahang yang sedang dalam pembinaan dan menunjukkan kemajuan positif iaitu FELDA Sungai Retang, Jerantut yang telah mencapai 69 peratus siap dan dijangka selesai sebelum akhir tahun ini; FELDA Jengka 11, Maran mencatatkan kemajuan 72 peratus dan sedang menuju fasa akhir pembinaan; serta FELDA Jengka 1, Maran, yang kini berada pada tahap 53 peratus siap, dengan usaha dipergiat bagi mempercepatkan pembinaan.
“Selain itu, status projek di lokasi lain seperti FELDA Keratong 7, Kampung Awah, Bukit Sagu, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan FELDA Bukit Tajau pula adalah berbeza mengikut kelulusan agensi teknikal sama ada masih dalam tindakan pemaju dan yang masih belum mengemukakan apa-apa permohonan yang perlu,” katanya lagi.
Menurutnya, status terkini projek-projek tersebut adalah dalam pemantauan berkala Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.-PAHANGMEDIA

