Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memberi jaminan untuk mengenakan kadar premium tanah yang minimal bagi pembangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengurangan ini akan diberikan memandangkan projek tersebut merupakan projek kerajaan untuk masyarakat dan akan memberi faedah kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri tidak pernah tidak mempertimbangkan rayuan daripada Kerajaan Persekutuan lebih-lebih lagi projek yang melibatkan orang ramai sepertimana pembinaan hospital dan sebagainya ataupun pembinaan sekolah dan sebagainya. itu adalah proses biasa.
“Jadi untuk tujuan ini baru ni kita telah ada dalam mesyuarat bersama-sama dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang Ke-10 di mana dibangkitkan isu ini, di mana Kerajaan Negeri telah meminta mereka mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Negeri dengan secepat mungkin.
“Saya bagi jaminan di sini kita Kerajaan Negeri akan bagi pengurangan kadar premium yang sewajarnya bagi tujuan pembinaan bangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan. Projek ini adalah untuk masyarakat kemudian yang dapat faedahnya rakyat. Saya dah bagitahu kepada PTG kita akan pertimbangkan sehabis minima,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bagi memperhalusi kadar premium tanah untuk tujuan pemberimilikan tanah Kerajaan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi pembangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Pembinaan pembangunan Hospital Tengku Ampuan Afzan adalah dalam senarai keempat keutamaan, wish list. Dan ini dibincangkan semasa lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Jadi sekarang ni kita tunggu surat rayuan, pasal premium kita dah dapat, dan kita akan jawab, dan saya difahamkan oleh KSU apabila mendapat jawapan daripada Kerajaan Negeri mereka akan mengambil tindakan yang segera.
“Dan kita minta supaya ianya dapat dipercepatkanlah dan maknanya projek ni dah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan cuma sekarang ni dari segi teknikal proses dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly dan soalan tambahan dari ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

