Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025: Projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab kini memasuki fasa pelaksanaan apabila kontraktor telah dilantik dan tarikh milik tapak bermula 10 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, projek bernilai RM12,932,368 itu dijangka siap sepenuhnya pada 10 Februari 2027, mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan.
“Projek pembangunan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Tendertelah dikeluarkan pada November 2024. Agensi pelaksanan ialah pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, YB. Woo Chee Wan dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dato’ Ir. Razali memaklumkan bahawa jambatan berkenaan mengalami kerosakan teruk susulan kejadian pada 18 Mac 2022, apabila dua batang pier jambatan patah akibat hentaman kayu besar semasa paras air sungai meningkat.
“Kejadian ini menyebabkan sebahagian deck slab telah turun dari paras asal dan penduduk tidak dibenarkan melaluinya atas faktor keselamatan. Ini menyebabkan penduduk sekitar telah terputus hubungan,” katanya.
Tambah beliau, jambatan tersebut merupakan laluan penting yang menjadi penghubung utama kepada penduduk sekitar, khususnya dalam melancarkan pengeluaran hasil setempat dan merancakkan pembangunan sosio-ekonomi kawasan luar bandar.
“Akibat daripada itu, penduduk tempatan terpaksa menggunakan jalan alternatif iaitu sejauh enam kilometer (sekitar 10 hingga 15 minit perjalanan) melalui jalan Kampung Gantok iaitu jalan negeri dan jalan Gantok Hulu (jalan kampung) dan penduduk terpaksa melalui jalan yang lebih jauh,” katanya. -PAHANGMEDIA

