Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Calon yang memohon untuk menjadi peguam syarie di Pahang wajib menghadiri sesi temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang (SPANP).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ini kerana proses ini tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1995.
“Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1995 memperuntukkan seperti berikut, jawatankuasa hendaklah mempunyai fungsi mengadakan kursus, temuduga dan peperiksaan Sijil Peguam Syarie.
“Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa mengadakan temuduga adalah salah satu perkara yang wajib dilaksanakan oleh jawatankuasa ini. Justeru, semua calon yang memohon untuk menjadi peguam syarie di Negeri Pahang wajib menghadiri sesi temuduga tersebut,” katanya.
Beliau berkata sesi temuduga yang dijalankan terhadap calon peguam syarie di negeri ini adalah bagi memastikan tahap pemahaman serta corak pemikiran calon sebelum diterima sebagai peguam syarie di Pahang.
“lanya merupakan suatu mekanisme bagi menilai tahap pemahaman calon mengenai konsep-konsep asas dalam syariah dan mempunyai kefahaman dalam profesion guaman syarie.
“Proses temuduga juga membolehkan jawatankuasa menilai kredibiliti, corak pemikiran calon, kemampuan berhujah, kemahiran mengupas isu dan pengetahuan tentang isu-isu perundangan semasa. Hanya calon yang berkualiti dan memenuhi kriteria sahaja akan diterima masuk sebagai peguam syarie di Pahang,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang (SPANP) hanya mempunyai kuasa untuk melantik Pegawai Syariah Gred LS yang mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Syariah atau ljazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam (Syariah) dan Diploma Lanjutan Undang-undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam yang diiktiraf oleh Kerajaan.
“Jumlah pengambilan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pegawai Syariah ini akan ditempatkan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang (JKSP).
“Bidang kuasanya adalah menjalankan fungsi JKSP iaitu memastikan segala permasalahan yang berkaitan perundangan syariah dan kekeluargaan Islam di Negeri Pahang dapat diselesaikan dengan cara terbaik mengikut hukum-hukum syarak yang berpandukan Al-Quran Dan Hadis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

