Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Sebanyak 63 metrik tan kelapa tua telah dibawa masuk ke pasaran negeri Pahang dari Januari hingga Februari lalu bagi menampung keperluan domestik negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, kemasukan kelapa tua terbabit adalah melalui empat pusat operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) iaitu di Pusat Operasi FAMA Kuantan, Jerantut, Lanchang dan Cameron Highlands.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan menampung permintaan domestik tetapi juga memastikan industri hiliran tempatan terus berkembang secara mampan.
“FAMA Negeri Pahang telah melaksanakan pelan intervensi dengan membekalkan kelapa tua ke pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh ADUN Ketari, YB. Su Keong Siong dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, pembekalan kelapa tersebut diperoleh dari Sabah, Sarawak dan Indonesia melalui Ibu Pejabat FAMA, sebelum diagihkan mengikut negeri di seluruh Malaysia.
“Pada tahun 2024, sebanyak RM207,240 telah diperuntukkan kepada 34 orang pengusaha kelapa di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri Pahang komited dalam memperkasa industri penanaman kelapa melalui pelbagai insentif dan program pembangunan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kekurangan bekalan kelapa berpunca daripada peningkatan permintaan yang tinggi melebihi penawaran.
“Permintaan tinggi terhadap kelapa disebabkan oleh penggunaan dalam pelbagai sektor seperti industri makanan dan minuman, serta produk hiliran seperti santan, minyak kelapa dara dan air kelapa.
“Peningkatan sektor agropelancongan dan penghasilan makanan tempatan juga antara faktor utama kekurangan bekalan kelapa,” katanya lagi.
YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi turut menambah bahawa ketidakseimbangan antara pengeluaran domestik dan permintaan menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada import kelapa tua dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.-PAHANGMEDIA

