Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Program Anggun Suri memberi impak positif kepada masyarakat negeri ini khsusunya golongan B40.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, program berkenaan menawarkan perkahwinan dengan kos lebih rendah sekali gus membantu pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi menghadapi kekangan kewangan.
“Sebagai contoh, pada tahun lalu, sembilan pasangan di Daerah Bera program dengan yuran komitmen yang dikurangkan daripada RM500 kepada RM200 selepas bantuan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, program seumpama itu tidak hanya membantu meringankan beban pasangan B40, tetapi juga memperkukuhkan nilai kemasyarakatan dalam kalangan rakyat Pahang.
“Selain itu, program ini turut memperkukuhkan semangat masyarakat Madani dalam kehidupan seharian, dengan menekankan nilai-nilai kemasyarakatan dan kerjasama,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

