Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 24 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa terharu dengan kesetiaan rakyat yang menanti kehadiran Paduka Baginda berdua terutamanya di tepi jalan di sepanjang laluan Kembara Pahang 1.0 selama tiga hari bermula Isnin lalu.
“Alhamdulillah saya teruja dengan sambutan kerana mereka telah menyambut di tepi jalan di kampung-kampung walaupun dalam cuaca panas, cuaca hujan.. dan ramai juga tunggu begitu lama sekali ada empat jam, lima jam, dan saya kena berhentilah, takkanlah tak berhenti orang tua-tua tunggu, orang muda, budak budak sekolah.

“Saya berterima kasih kepada yang menunggu saya, keluarga dan rombongan dan minta maaf kalau kita tidak dapat menyantuni begitu lama kerana kena kejar dengan masa..tapi InsyaAllah kalau umur panjang saya akan kunjung lagi ke kampung-kampung di situ,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Penutupan Program Kembara Pahang 1.0 di Pantai Lagenda, semalam.
KDPB Al-Sultan Abdullah bertitah baginda berhasrat mengadakan program seumpama itu pada masa hadapan dengan menjelajah ke daerah yang belum sempat dikunjungi pada program ini.

“Kita akan lakukan pascanilai dan memperbaiki lagi program ini kerana kita tidak mahu rakyat tunggu terlalu lama, insya-Allah kita akan ke daerah lain pula untuk bermesra dengan rakyat dan memeriksa keadaan di negeri ini,” titah baginda.
KDPB Sultan Pahang bertitah terdapat juga pelbagai rungutan yang diterima daripada rakyat berkaitan masalah setempat dan perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelepasan kumpulan yang akan mengikuti Kursus Jati Diri dan Bina Insan antara Agensi Negeri Pahang serta Ekspedisi Gunung Kinabalu 2025 yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
Sebanyak 65 peserta terdiri daripada pelbagai agensi itu akan mendaki Gunung Kinabalu pada Sabtu dan Ahad ini (26 dan 27 April). -PAHANGMEDIA

