Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhilitan berhasrat untuk membina Pusat Konservasi Seladang seperti di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Jenderak Selatan dan PKHL Sungkai Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan pusat konservasi itu adalah sebagai tambahan kepada Pusat Konservasi Seladang sedia ada.
“Jabatan tidak berhasrat untuk memindahkan Pusat Konservasi Seladang sedia ada tetapi menambah satu lagi pusat tersebut di Jalan Bukit Rengit, Lanchang,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tambahnya, pada ketika ini, kawasan sekitar Bukit Rengit dan Kuala Gandah telah mempunyai dua pusat konservasi iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dan Pusat Konservasi Harimau Malaya, Jalan Bukit Rengit, Lanchang.
“Justeru itu, Jabatan Perhilitan sedang dalam proses mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke 13 (RMK-13) bagi projek tersebut.
“Jika permohonan tersebut berjaya, akan terdapat dua Pusat Konservasi Seladang di Negeri Pahang seterusnya dapat memperkasakan lagi usaha konservasi seladang secara exsitu yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Jabatan Perhilitan,” ujarnya.
Dalam perkembangaan lain katanya, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perhilitan dalam usaha mitigasi yang berterusan bagi mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar, khususnya melibatkan gajah liar yang merosakkan tanaman masyarakat Orang Asli.
“Beberapa pendekatan yang sedang dan akan terus dilaksanakan termasuklah, pemantauan dan pengurusan habitat yang mana pemulihan dan penyambungan koridor hidupan liar bagi membolehkan hidupan liar (gajah) bergerak dengan mengurangkan risiko melalui kawasan pertanian dan penempatan Orang Asli.
“Penetapan bagi setiap aktiviti yang melibatkan pembukaan kawasan habitat hidupan liar menyediakan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (Wildlife Management Plan) bagi memastikan konflik hidupan liar dapat ditangani dengan berkesan.
“Bagi langkah mitigasi konflik, Jabatan Perhilitan mewujudkan kawasan selamat (safe zone) di kawasan penempatan Orang Asli melalui kaedah pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) mudah alih,” katanya lagi.
Selain itu katanya langkah yang turut diambil adalah menerusi program tangkap dan pindah gajah dari kawasan konflik yang kritikal ke habitat yang lebih sesuai dan pemasangan kolar gajah sebagai sistem pemantauan pergerakan gajah dan sistem amaran awal.
“Kesemua langkah ini bertujuan untuk mengimbangi keperluan pemuliharaan hidupan liar dengan kesejahteraan masyarakat setempat, selaras dengan Dasar dan Strategi Pemuliharaan Negara,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

