Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Noraqilah Amran
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM1.1 bilion bagi kerja-kerja selenggaraan jalan dan jambatan persekutuan di seluruh negeri ini tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelaksanaan 176 kerja selenggaraan yang sedang berjalan di seluruh negeri merangkumi pembaikan jalan, jambatan, kerja rutin serta lain-lain kerja berkaitan.
Katanya, setakat 31 Mac lalu, JKR Negeri Pahang telah menerima agihan sebanyak bagi kerja pembaikan jalan, jambatan, kerja rutin dan lain-lain berjumlah RM285 juta.
“Kerajaan Negeri juga menerima peruntukan sebanyak RM268.622 juta bagi kerja penyelenggaraan Jalan Negeri dan Jalan Kampung menerusi peruntukan MARRIS sehingga 31 Mac 2025,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam usaha memastikan jaringan jalan yang baik demi kemudahan rakyat serta melancarkan aktiviti ekonomi setempat, Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan tujuh projek di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melibatkan jumlah keseluruhan RM858.74 juta.
Katanya, dua daripada projek berkenaan diluluskan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) manakala lima lagi menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Dua projek di bawah KKR ialah Projek Menaik Taraf Struktur Turapan Jalan Sungai Koyan (FT1503) dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 29.3 di Raub dan Lipis berjumlah RM100 juta serta Projek Menaik Aras Jalan Jerantut-Kuala Lipis (FT234) dari Seksyen 42.00 hingga 48.00 dan dari Seksyen 55.00 hingga 57.00 di Jerantut yang menelan kos RM124.82 juta,” jelasnya.
Manakala projek yang diluluskan dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) katanya, adalah menaiktaraf Jalan Pos Sinderut, Lipis Pahang sebanyak RM320 juta, membina jambatan konkrit baru di Kampung Ulu Milut RPS Betau, Lipis sebanyak RM9 juta, membina Jambatan konkrit di Kampung Berkat, Maran sebanyak RM7 juta, menaiktaraf Jalan di Kampung Terisu, Cameron Highlands sebanyak RM90 juta, dan menaiktaraf Jambatan Kampung Kuala Dong, Laluan C158, Seksyen 12.40, Jalan Cheroh ke Gesing, Raub sebanyak RM19 juta di bawah RP5, RMKe-12.
Menurut YB Dato’ Ir. Razali lagi, kesemua projek tersebut kini berada di peringkat rekabentuk oleh JKR Malaysia. -PAHANGMEDIA

