Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) sedang giat melaksanakan pelbagai usaha ke arah mendapatkan pengiktirafan Lipis Geopark sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) menjelang tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, antara gerak kerja yang sedang dilaksanakan termasuk penyediaan dokumen rasmi (dossier) untuk pencalonan geopark berkenaan.
“Selain itu, sebuah Galeri Lipis Geopark juga sedang dalam proses disiapkan di bangunan berhampiran Stesen Keretapi Kuala Lipis.
“Galeri ini akan memaparkan keunikan tapak geologi, biologi dan budaya yang terdapat di kawasan Lipis Geopark,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain katanya, Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP) telah diluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM11,747,003 bagi tahun ini untuk pelaksanaan enam projek kecil di bawah inisiatif menaik taraf muzium-muzium di negeri ini.
Menurut YB. Puan Leong, antara projek yang sedang berjalan ialah Projek Pembangunan Pulau Beram, Pekan yang dijangka siap pada 15 Julai ini.
“PMNP juga sedang melaksanakan pembinaan Projek Pembangunan Perkampungan Al-Asar (Pekan Circle) di Pekan Lama yang dijangka siap pada 10 Oktober 2026.
“Bagi Projek Konservasi dan Menaik Taraf Istana Leban Tunggal, Pekan pula dijangka siap sepenuhnya pada 30 Mei ini,” katanya.
Dalam pada itu, PMNP turut menjalankan kerja menaik taraf pameran di Muzium Tenun Pahang Diraja dan Pusat Repositori Kuantan yang kini dijenamakan semula sebagai MOCA Plus dan Muzium Tunku Azizah.
“Majlis perasmian pameran berkenaan dijangka akan diadakan pada 18 Mei ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

