Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa bersedia untuk membantu dan memudah cara pewartaan kawasan Rizab Orang Asli selepas menerima permohonan lengkap daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), termasuk pelan warta yang terperinci.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, proses pewartaan kawasan Rizab Orang Asli memerlukan pelbagai peringkat tindakan.
“Walau bagaimanapun, bajet untuk pengukuran sempadan Rizab Orang Asli adalah di bawah Kerajaan Persekutuan. Kebanyakan kawasan Rizab Orang Asli adalah berkeluasan besar dan akan melibatkan kos yang besar untuk pengukuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Haris Salleh Hamzah dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 yang berlangsung di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa di daerah Jerantut, kesemua pewartaan kawasan Orang Asli masih berada di peringkat penyediaan pelan ukur oleh pihak JAKOA.
“Sebanyak 12 buah Kampung Orang Asli (KOA) telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 25 Oktober 2017 untuk diwartakan sebagai Kawasan Orang Asli mengikut Seksyen 6(1) Akta Orang Asli 1954. Keputusan tersebut juga selaras dengan ketetapan MMK pada tahun-tahun sebelumnya, termasuk pada 1997 dan 2006,” ujarnya.
Susulan keputusan tersebut katanya, JAKOA telah mengambil tindakan lanjut dengan memohon pewartaan bagi semua kampung terlibat.
“Sehingga kini, kesemua 12 KOA belum diwartakan kerana masih diperingkat kerja ukur. Empat KOA telah mendapat kelulusan peruntukan dari JAKOA untuk melantik Juru Ukur Tanah Berlesen bagi melaksanakan kerja pengukuran iaitu melibatkan penyediaan pelan ukur halus yang disahkan oleh pihak JUPEM untuk tujuan pewartaan.
“Pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jerantut seterusnya akan memproses permohonan pewartaan dan siar warta setelah menerima pelan ukur halus yang telah disahkan tersebut daripada pihak JAKOA. Tiada hasil diperoleh daripada premium atau cukai melibatkan KOA ini,” katanya lagi.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim juga berkata pihak ORACO sentiasa menjalin kerjasama erat dengan Pentadbir Tanah Daerah yang berkaitan dalam melaksanakan proses perizaban tanah kampung Orang Asli di seluruh negeri Pahang. Pihak ORACO juga bersedia mematuhi pelan tindakan dan garis masa yang ditetapkan oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan proses berjalan lancar. -PAHANGMEDIA

