Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengesyorkan agar Kerajaan Persekutuan memperluaskan pelaksanaan Skim Takaful Tanaman Padi kepada tanaman-tanaman lain bagi memperkukuhkan jaringan keselamatan dan perlindungan kepada golongan petani.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, skim berkenaan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sejak 13 September 2024 itu wajar dikembangkan agar manfaatnya tidak terhad kepada penanam padi semata-mata.
“Pahang sentiasa menganjurkan supaya Kerajaan Pusat mengembangkan lagi skim perlindungan dan jaringan keselamatan, bukan sahaja untuk tanaman padi, tetapi juga tanaman lain.
“Kita memperjuangkan (cadangan) bukan sahaja untuk petani di Pahang tetapi juga termasuk untuk petani di luar negeri Pahang. Pahang akan buat lebih baik yang kita ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berbeza daripada negeri lain seperti Terengganu yang memperkenalkan tabung bencana banjir dan kerosakan akibat haiwan liar berjumlah RM115,000 dengan kadar bantuan maksimum RM2,000 bagi dua hektar.
“Pahang tidak akan mengikut cara Terengganu sebab kita nak buat yang lebih baik. Kalau kita nampak cara ini lebih kurang dari apa yang kita sediakan, sudah tentu kita tidak akan ikut apa yang dibuat Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM36.78 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2025 bagi memperkukuh sektor pertanian, termasuk sokongan kepada petani dan usahawan tani yang terjejas akibat bencana.
“Para petani dan golongan usahawan tani yang berkenaan juga boleh menghubungi atau terus hadir ke jabatan yang berkenaan seperti Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri dan Jabatan Perikanan bagi tujuan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insentif dan bantuan Kerajaan Negeri yang berkaitan termasuk maklumat bantuan yang turut disediakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan melalui tabung bencana pertanian yang telah dinyatakan,” katanya lagi.
Selain dari itu ujarnya, atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap musibah bencana alam yang melanda setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta masing-masing pada tahun 2025 dan 2024 berbanding RM7.6 juta pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 31.5 peratus atau RM2.4 juta.
“Peruntukan ini bertujuan bencana termasuklah banjir dimana para petani, penternak yang terjejas turut mendapat manfaat,” ujarnya lagi.
YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi juga berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pandangan dan mengambil maklum akan cadangan untuk mewujudkan Tabung Bencana Pertanian untuk menyampaikan pampasan kerugian kepada para petani, penternak dan nelayan. -PAHANGMEDIA

