Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah memuktamadkan pelantikan 109 Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi fasa kedua pada awal bulan ini selepas pelantikan fasa pertama iaitu seramai 164 ahli majlis sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, proses pelantikan itu dibuat selepas melalui beberapa peringkat saringan termasuk tapisan keselamatan dan rundingan bersama semua pemegang taruh.
“Sebelum ini kita telah melantik seramai 164 Ahli Majlis bagi fasa pertama dan pelantikan melibatkan 109 lagi Ahli Majlis telah kita muktamadkan pada awal April ini.
“Proses ini perlu kita mengambil kira dan perlu melalui beberapa proses seperti tapisan keselamatan calon yang terbabit sama ada mempunyai rekod jenayah atau pelbagai dan juga dengan rundingan bersama semua pemegang taruh supaya semua Ahli Majlis yang kita lantik ini dapatlah berfungsi dengan baik dan menyokong segala fungsi-fungsi utama di kesemua 11 PBT yang ada di negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Su Keong Seong dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua ahli majlis yang telah dilantik juga akan mengikuti kursus latihan yang dilaksanakan bagi memperkasa peranan mereka dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan berkesan.
Dalam perkembangan sama, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian PBT di negeri ini apabila empat bandar di Pahang tersenarai dalam kelompok 10 bandar paling bahagia di Malaysia tahun 2024.
“Pada 2023 antara 155 bandar di Malaysia, tiga bandar di negeri ini dinobatkan antara bandar paling bahagia antara 10 bandar teratas paling bahagia. Tapi Alhamdulillah, pada tahun 2024 peningkatan satu lagi bandar, iaitu dari tiga bandar menjadi empat,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan ini turut didorong oleh peranan aktif ahli majlis PBT dalam memastikan keharmonian dan kualiti hidup masyarakat sentiasa terpelihara.
“Negeri Pahang juga telah dinobatkan sebagai negeri kedua paling bahagia di Malaysia selepas Negeri Sembilan. Kita mahu peranan ahli-ahli majlis ini diteruskan dan diperkasakan supaya lebih banyak bandar di negeri ini akan muncul sebagai bandar paling bahagia,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

