Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengadaptasi elemen teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelaksanaan data raya negeri khususnya dalam kajian bencana dan perkahwinan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pahang Go, anak syarikat milik Kerajaan Negeri bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang melalui Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) sedang giat menjalankan kajian dan potensi jalinan usahasama dengan rakan-rakan strategik bagi melihat peluang adaptasi teknologi Al dalam sektor awam.
“Agensi yang akan diberi keutamaan termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sosioekonomi seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah.
“Antara yang akan dibangunkan tahun ini ialah chatbot dan pengurusan aduan berasaskan Al yang akan meningkatkan kecekapan, ketulusan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Dato’ Haji Andansura Rabu dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas berkenaan impak pelaksanaan AI terhadap keperluan sumber manusia di negeri ini, beliau menjelaskan bahawa setakat ini belum terdapat kajian khusus di peringkat negeri.
“Namun begitu, terdapat beberapa inisiatif dan kajian di peringkat nasional yang relevan dan boleh dijadikan rujukan. Misalnya, kajian TalentCorp mengenai Impak Al, Digitalisasi, dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia yang dilancarkan pada 18 November 2024,” katanya lagi.
Kajian terbabit katanya mengunjurkan bahawa sebanyak 620,000 pekerjaan di Malaysia dijangka terkesan secara langsung dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang akibat automasi, pendigitalan dan keperluan kelestarian baharu.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan YB. Dato’ Haji Andansura berkaitan bagaimana sesuatu yang baru itu tidak membebankan kakitangan awam terutamanya mereka yang telah berusia, YB. Dato’ Mohamad Nizar menjawab, latihan akan diberikan kepada penjawat awam yang lebih berusia dalam penggunaan aplikasi AI ini.
“Dan sekiranya mereka masih ada cabaran (dalam penggunaan AI), tugas yang melibatkan teknologi ini akan diberikan kepada penjawat awam yang lebih muda atau lebih celik digital,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

