Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 APRIL 2025 : Sebanyak RM1,437,142.90 kutipan hasil penalti melalui proses 130 Kanun Tanah Negara telah berjaya dikutip Kerajaan Negeri Pahang setakat ini dengan sebanyak 1,082 hak milik tanah telah dirampas atau dilucutkan hak di seluruh Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tanah yang dirampas dan dilucutkan hak oleh Pentadbir Tanah adalah susulan kegagalan pemilik mematuhi syarat pemilikan, termasuk tidak menjelaskan cukai tanah.
Daripada jumlah itu juga katanya, seramai 838 pemilik tanah tidak dikembalikan kepada pemilik tanah kerana tidak mengemukakan permohonan pembatalan pelucutan hak.
“Bukan sahaja mengerjakan tanah secara tidak sah seperti pembalakan dan perlombongan tidak sah, tetapi kalau tak bayar cukai tanah pun kita rampas. Prosedurnya ada, sebagai contoh kita bagi notis 6A untuk bayar tunggakan, lepas tidak bayar tunggakan baru kita kemukakan notis 8A.
“Maknanya, prosedur dan peraturan ditetapkan kita patuhi peraturan, tapi kalau sekiranya tidak mematuhi syarat-syarat, peraturan dan tidak membayar tunggakan cukai, kita akan rampas kembali (tanah tersebut),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam sesi Pertanyaan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan YB Tuan Mohd Fadzli berhubung jumlah penalti yang tinggi dikenakan dan peluang rayuan oleh pemilik tanah yang telah dilucutkan hak, Wan Rosdy memaklumkan bahawa rayuan masih boleh dikemukakan sama ada melalui mahkamah atau terus kepada Pentadbir Tanah dalam tempoh tiga bulan selepas notis 8A dikeluarkan.
“Pemilik tanah yang telah diwartakan Borang A dan tanahnya telah dilucuthakkan boleh membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri iaitu Permohonan Pembatalan Perlucutan Hak di bawah subseksyen 133 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pihak Penguatkuasa Negeri melalui Pentadbir Tanah.
“Memang benar maksimum yang kita kenakan adalah enam kali ganda (nilai cukai tanah) tetapi lazimnya kita akan lihat juga berapa pendapatan dia (pemilik tanah) dan sebagainya dan kita akan bagi pertimbangan. Menurut rekod yang saya ada ini, belum ada lagi yang kita kenakan sehingga enam kali ganda,” katanya sambil menyeru pemilik tanah agar terus bertanggungjawab menjelaskan cukai tanah masing-masing.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Tanjung Lumpur, YB Dato’ Haji Rosli Abdul Jabar, berhubung kes tanah pemiliknya telah meninggal dunia dan menyebabkan waris tidak mengetahui status cukai atau hak milik tanah tersebut, Wan Rosdy menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil kira situasi tertentu.
“Ini kali pertama saya dengar kes sebegitu. Itu tujuannya kita ada wakil rakyat yang boleh terus bantu bawa kes ini kepada Pentadbir Tanah. Kita takkan zalim untuk terus membatalkan hakmilik tanah itu. Kalau betul itu tanah milik individu tersebut, bergantung pula kepada urusan pembahagian pusaka pula. Proses itu ada, tidak sewenangnya Kerajaan Negeri membatalkan hakmilik, merampas kembali atau menyerahkan kepada orang lain,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

