Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berjaya dalam mentadbir urus khazanah negeri berdasarkan prestasi ekonomi negeri.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Shahrim Md. Zain, ketegasan dan komitmen Kerajaan Negeri berkaitan tanah rizab Melayu dapat memelihara warisan bangsa di negeri ini.
“Prestasi ekonomi negeri yang dipimpin oleh YAB Dato’ Sri Diraja Menteri Besar Pahang menggambarkan pentadbiran yang efisyen dan mampan serta lambang kepada kegigihan, integriti, dan keberkesanan tadbir urus kerajaan dalam mengurus khazanah negeri.
“Saya percaya ketegasan Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa komited dan tegas dalam memastikan tanah rizab Melayu di Negeri Pahang ini semakin bertambah saban tahun. Ini dapat dibuktikan melalui keluasan kini sebanyak 444,074 hektar berbanding 218,326 hektar pada 1955.
“Memetik titah ucapan tuanku ‘pencapaian ini merupakan bukti nyata, komitmen, dan iltizam kerajaan negeri dalam memelihara warisan milik bangsa. Satu pegangan yang bukan sahaja bernilai ekonomi tetapi juga mempunyai erti yang mendalam dari sudut jati diri dan maruah orang Melayu’,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap jumlah penyalahgunaan dadah di negeri ini yang menunjukkan peningkatan pada tahun lepas berbanding 2023.
“Penularan penagihan dan pengedaran dadah yang masih berakar umbi di negeri ini terus menjadi isu yang membimbangkan. Sebanyak 13,800 tangkapan pada tahun 2024, meningkat lebih 8 peratus berbanding tahun 2023.
“Rekod AADK, kadar umur yang dicatatkan antara umur 20 tahun sehingga 50 tahun penyumbang besar kepada isu permasalahan ini. Generasi muda adalah aset masa depan negeri dan negara.
“Sesungguhnya generasi muda bukan hanya pewaris tanah warisan, bahkan tiang negara masa hadapan. Jika kita gagal mendidik mereka hari ini, maka kita akan mewariskan tanah tanpa tuan, ladang tanpa harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

