Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Tindakan menyebarkan video kononnya terdapat satu lombong emas haram di tengah sebuah kebun durian di Raub disifatkan sebagai satu fitnah yang sengaja dilakukan untuk menunggang isu pencerobohan yang berlaku di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, penyebaran video berkenaan juga merupakan satu tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memainkan sentimen perkauman.
“Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan sentimen perkauman, fitnah, menunggang isu pencerobohan ini. Terbaru satu rakaman TikTok kononnya terdapat satu lombong emas haram di tengah-tengah kebun durian di Raub.
“Ia sebenarnya adalah satu video milik Encik Md Jekri Mohd Hassan yang sebenarnya sedang menjalankan ujian ke atas mesin baharu di sebuah lombong bijih besi di Sungai Petani, Kedah.
“Ini diakui sendiri pemilik video berkenaan sebagaimana dipetik di dalam Sinar Harian bertarikh 19 April 2025 yang lalu. Malangnya video fitnah ini disebar dan dikongsikan oleh ribuan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan Kerajaan Negeri berhubung isu pencerobohan tanah adalah tepat dan tempoh masa yang lama tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk bertindak.
“Saya nak sebutkan bahawa Kerajaan bertindak sangat tegas dengan menaikkan jumlah denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali kerana kesalahan menceroboh tanah kerajaan.
“Tetapi di luar sana, fitnah yang disebarkan bahawa Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat hari ini tidak menghukum penceroboh tanah, fitnah kononnya penceroboh tanah Pahang dibiarkan,” jelas beliau.
Beliau dalam masa sama turut menegaskan bahawa terdapat banyak kes pendakwaan terhadap pencerobohan yang berlaku di Negeri Pahang telah di bawa ke muka pengadilan.
“Saya menggunakan ruang pada hari ini mengucapkan setinggi tahniah kepada YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang yang berani bertindak sedemikian,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengajak seluruh rakyat agar menghayati titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah semasa program Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada 28 Februari lalu.
“Baginda mengingatkan kita supaya meninggalkan sifat suka memfitnah, menabur kebencian dan menyebarkan berita tidak benar. Baginda juga bertitah supaya tidak membesarkan isu yang boleh menggugat keharmonian kaum,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

