Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal menyampaikan jersi dan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia kepada penyokong setia Sri Pahang FC, Nasrah Abu, 53, atau lebih dikenali sebagai ‘Makcik Petir’, hari ini.
Penyerahan tersebut merupakan simbol sokongan padu ‘Makcik Petir’ terhadap skuad Sri Pahang FC yang bakal beraksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.
“Saya akan hadir bersama para penyokong setia Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan padu dan sorakan yang terbaik terhadap pasukan Pahang sepanjang perlawanan akhir nanti. Kehadiran saya bersama Makcik Petir hari ini adalah bukti semangat dan iltizam kita sebagai penyokong berada di tahap tertinggi.

“Mungkin ada analisis, andaian komentar dan sebagainya yang mengatakan perlawanan ini menyebelahi pihak JDT misalnya. Apa-apa boleh berlaku dan saya amat berharap dalam 90 minit perlawanan ini pasukan Pahang memberikan sepenuh komitmen dan berusaha gigih bermain bermati-matian untuk memastikan piala ini berpihak kepada Sri Pahang FC itu sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Pahang khususnya peminat bola sepak di Lembah Klang dan negeri-negeri berhampiran agar hadir beramai-ramai ke stadium bagi menyokong pasukan kesayangan mereka.
“Inilah detik yang kita nantikan dan 11 tahun dulu kita menang di perlawanan akhir juga bertembung dengan Johor dan tidak mustahil langsung kita boleh mencipta kejutan dan memenangi piala ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Puan Nasrah yang menjalankan perniagaan Kak Nas Corner di Taman Impianku berkata beliau telah menjadi penyokong setia Sri Pahang sejak 14 tahun lalu.

“Saya orang Johor tetapi bila tinggal di Pahang, saya ikut kata-kata arwah atuk saya: ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Saya akan menjerit beri semangat kepada pemain supaya jaringkan gol sebelum masa tamat.
“Gelaran ‘Makcik Petir’ diperoleh ketika saya tengok bola dan saya jerit sebab pasukan Pahang gagal jaringkan gol. Masa itu jurulatih Dollah Salleh dan beberapa orang panggil saya ‘Makcik Petir’ sebab saya menjerit. Apabila saya jerit, tiba-tiba pasukan Pahang dapat jaringan gol. Di situlah bermulanya gelaran Makcik Petir ini,” katanya.
Ibu tunggal kepada dua anak berusia 20 tahun dan 16 tahun itu turut menyampaikan pesanan kepada seluruh pemain Sri Pahang agar tidak mensia-siakan peluang keemasan yang dinanti selama 11 tahun ini.
“Saya sayang kamu semua. Belajarlah dari kesilapan lalu dan lakukan yang terbaik. Apa pun, Hogoh Pahang Hogoh!” katanya. -PAHANGMEDIA

