Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kutipan cukai sekitar RM5 juta setahun hasil pelaksanaan Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) dan Projek Tanaman Semula Berkelompok Orang Asli (TSBOA) dikembalikan semula kepada masyarakat Orang Asli melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi bina baru sebanyak 120 unit dengan peruntukan berjumlah RM9.24 juta, serta program baik pulih rumah Orang Asli sebanyak 100 unit melibatkan kos RM1.5 juta.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM300,000 bagi insentif perkahwinan kali pertama Orang Asli, RM750,000 untuk sumbangan komputer riba kepada pelajar Orang Asli yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, dan RM300,000 bagi Program Sambutan Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB. Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, dua lagi inisiatif ialah Program Education Demi Orang Asli ( e-DOA) dengan peruntukan RM200,000 dan Program Pembangunan Belia Orang Asli melibatkan aktiviti sukan, perniagaan dan ICT sebanyak RM200,000.
Dalam sesi soal jawab itu, YB. Tengku Zulpuri Shah turut mengemukakan soalan tambahan mengenai dakwaan bahawa semua urusan masyarakat Orang Asli yang perlu melalui Orang Asli Corporation (ORACO) terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), tidak seperti sebelum ini yang terus dikendalikan oleh JAKOA.
Menjawab pertanyaan itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim menjelaskan bahawa tidak berlaku sebarang perubahan dalam tatacara urusan berkenaan.
“Merujuk kepada soalan tambahan, apakah jenis urusan yang dimaksudkan? Sekiranya urusan melibatkan pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), maka ia perlu melalui ORACO kerana projek ini adalah inisiatif baharu yang diselaraskan oleh syarikat tersebut. Namun jika melibatkan pembinaan rumah atau baik pulih di bawah JAKOA, maka proses kekal seperti biasa.
“JAKOA turut menyediakan peruntukan untuk baik pulih rumah Orang Asli, namun ianya terhad kerana perlu diagihkan kepada seluruh negara. Apa yang berlaku hanyalah penambahan dalam aspek pengurusan, berikutan pertambahan bentuk bantuan baharu daripada ORACO,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

