Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM91,400 bagi pemasangan dua unit talian Internet Starlink sebagai kelengkapan dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD) di sekolah luar bandar di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, peruntukan ini berserta langganan untuk tempoh 24 bulan bagi memastikan akses internet berkelajuan tinggi dapat dicapai di kawasan luar bandar khususnya Lipis.
“Kerajaan Negeri Pahang menyediakan pemasangan dua unit talian Internet Starlink beserta langganan untuk tempoh 24 bulan dengan peruntukan berjumlah RM91,400 bagi memastikan akses internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar, khususnya di daerah Lipis.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Pengurusan Sekolah Harian – BPSH) menyediakan peralatan digital bagi 30 buah kelas di enam sekolah rintis dalam Projek Sekolah Hibrid, selain membekalkan 17 unit Smart TV untuk kegunaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau, Lipis. Yayasan Didik Negara menyumbang sebanyak 300 unit tablet kepada murid-murid di SMK RPS Betau, Lipis, bagi menyokong pembelajaran digital dan meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan pelajar di luar bandar.
“SNS Network (M) Sdn. Bhd. / Koperasi Kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia Berhad (KKMak) membekalkan dua unit Smartboard untuk keperluan dua buah kelas di SMK RPS Betau, Lipis. ORACO Pahang menyediakan dua unit Smartboard untuk dua buah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai, Lipis, sebagai sebahagian daripada komitmen pihak swasta dalam memperkasa infrastruktur digital pendidikan,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak tujuh buah sekolah di negeri ini terlibat dengan Projek Rintis Sekolah Hibrid Negeri Pahang di bawah Dasar Pendidikan Digital melibatkan 32 buah kelas secara keseluruhan termasuk sebuah sekolah yang merupakan Sekolah Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Kerajaan Negeri Pahang, melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital, telah melaksanakan Projek Rintis Sekolah Hibrid Negeri Pahang yang melibatkan enam sekolah serta satu Sekolah Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam projek ini, setiap sekolah yang terlibat diperuntukkan lima kelas, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 kelas.
“Sekolah-sekolah yang terlibat dalam projek rintis ini ialah SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan; SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan; SMK Seri Jengka, Maran; SMK Padang Saujana, Jerantut; SMK Sulaiman, Bentong; dan SMK Agama Kuala Lipis, Lipis.
“Selain itu, Sekolah Kampung Angkat Madani Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu SMK RPS Betau, Lipis, turut terlibat dalam projek ini dengan peruntukan sebanyak dua kelas. Dengan ini, jumlah keseluruhan kelas yang terlibat dalam projek pendidikan digital ini adalah 32 kelas,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan kelas digital sebagai bukti komited Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan
berteraskan teknologi digital seiring dengan perkembangan pesat teknologi global.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

