Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri sentiasa komited memantau prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pahang agar kekal berdaya saing dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai perubahan dasar dan tadbir urus telah dilaksanakan bagi memastikan GLC Negeri Pahang terus menjadi tulang belakang kepada pembangunan negeri serta penyumbang utama kepada hasil negeri.
Menurut beliau, sehingga akhir tahun 2024, GLC Negeri diterajui oleh sembilan kumpulan syarikat induk/perbadanan yang menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing.
Antaranya ialah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang (YP), Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kumpulan Pahang Corporation (Pahang Corp), Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA), Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB), Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP).
“Berdasarkan laporan kewangan beraudit tahun 2023, tujuh daripada sembilan kumpulan GLC mencatat keuntungan, manakala dua lagi merekodkan kerugian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, syarikat yang mencatat keuntungan ialah PKPP, YP, PKNP, Pahang Corp, PSK, PKCH dan PTNP manakala dua syarikat yang merekodkan kerugian adalah Kumpulan ASPA dan PPPB.
Jelasnya, kerugian ASPA berpunca daripada prestasi negatif anak syarikat utama, Mentiga Corporation Berhad yang merekodkan kerugian sebanyak RM13.6 juta.
“Bagi PPPB pula, kerugian disebabkan pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang menjejaskan keupayaan syarikat untuk beroperasi serta membuat jualan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy memaklumkan, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan pemulihan perniagaan lima tahun bagi Mentiga Corporation Berhad, manakala rayuan mendapatkan semula Lesen AP bagi PPPB sedang diteruskan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Menjawab soalan tambahan ADUN Beserah, YB. Dato’ Haji Andansura Rabu berkaitan isu pembekuan lesen AP PPPB, beliau berkata satu pertemuan telah diadakan bersama YAB Perdana Menteri melibatkan pihak Kerajaan Negeri serta pihak syarikat.
“Kita kemukakan penjelasan bahawa negeri-negeri lain juga mengeksport pasir. Selain itu, kerja pendalaman sungai yang dilakukan untuk mengatasi banjir turut menghasilkan pasir berlebihan yang boleh dieksport.
“Kita ditanya atas alasan apa perlunya pasir di Pahang ini dieksport ke negara lain sedangkan tidak ada keperluan dan masih diperlukan dalam negara. Kita kemukakan jawapaan, negeri lain ada juga ada membekalkan pasir dan kita harus mendalami sungai di Pahang bagi mengatasi masalah banjir. Banjir tahun ini tidak seteruk di negeri lain dan salah satu sebab kita mendalami sungai,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya rayuan untuk mendapatkan AP tidak berjaya, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan alternatif lain bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat terbabit. -PAHANGMEDIA

