Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat kebajikan atlet serta bekas atlet daripada negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, ia merangkumi segi sukan serta akademik para atlet.
“Atlet Makmur, inisiatif ini dimulakan pada tahun 2022 sebagai usaha sama antara Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Pahang (MSP). Pada tahun 2023 kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada 1,000 atlet, dengan setiap atlet menerima bayaran sekali beri sebanyak RM300 sebagai penghargaan atas usaha mereka mengharumkan nama negeri. Mulai tahun 2024, inisiatif ini ditukar nama kepada Inisiatif Atlet Makmur dengan penambahan pemberian kepada atlet Pahang yang memenangi pingat di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
“Insentif Kepada Atlet Cemerlang dalam pelajaran, Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) menyalurkan bantuan kira-kira RM30,000 kepada 44 atlet Pahang yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. Setiap atlet menerima RM200, dengan tambahan RM100 bagi setiap gred A yang diperoleh. Bagi tahun 2024, seramai 37 orang menerima Insentif ini melibatkan kos RM23,100.00.
“Elaun Khas Latihan Atlet, bermula Januari 2024, elaun khas bulanan atlet yang terpilih untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) dinaikkan daripada RM100 kepada sekurang-kurangnya RM250 sebulan. Bagi persiapan Sukan Malaysia 2026, Selangor, atlet yang terpilih mengikuti program telah dibayar elaun latihan mulai 1 Januari 2025 melibatkan peruntukkan RM1.5 juta,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri Pahang juga turut mengambil berat berkenaan kebajikan para jurulatih serta menubuhkan tabung sukan bagi memperkasa bidang sukan di negeri ini.
“Kenaikan Gaji Jurulatih, gaji minimum jurulatih sukan sepenuh masa dinaikkan daripada RM1,500 kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bermula tahun 2024. Langkah ini diambil sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting jurulatih dalam pembangunan atlet dan untuk menyuntik semangat mereka dalam melatih atlet negeri. Seramai 23 orang daripada 33 orang bersamaan 70 peratus adalah dikalangan bekas-bekas atlet Pahang yang menyumbang tenaga selaku jurulatih sepenuh masa Majlis Sukan Pahang dan 37 peratus bekas-bekas atlet muda yang dilantik sebagal jurulatih sambilan Majlis Sukan Pahang.
“Penubuhan Tabung Sukan Pahang, dilancarkan pada 19 September 2023, tabung ini bertujuan memperkasa pembangunan sukan prestasi tinggi di negeri ini. Penyumbang kepada tabung ini bukan sahaja mendapat pelepasan cukai tetapi juga berpeluang terlibat dalam menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini.
“Ziarah dan sumbangan kepada atlet yang ditimpa musibah, Kerajaan Negeri Pahang menunjukkan keprihatinan terhadap atlet yang menghadapi musibah dengan menziarahi dan memberikan sumbangan. Kerajaan Negeri telah menziarahi atlet ragbi Pahang Azri Syahiran Zaiful Afindi yang kehilangan adiknya akibat lemas. Dalam lawatan tersebut, sumbangan disampaikan kepada Azri dan keluarganya; dan sumbangan kepada atlet yang meninggal dunia, Kerajaan Negeri Pahang turut memberikan sumbangan kepada keluarga atlet yang meninggal dunia sebagai tanda sokongan moral. Sebagai contoh atlet badminton yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya iaitu Arwah Wan Ezremy Shaqir bin Wan Erman Shafri berusia 17 tahun menerima sumbangan daripada pampasan Skim pelindungan insuran atlet Majlis Sukan Pahang sebanyak RM153,000.00,” katanya.
Beliau berkata Majlis Sukan Pahang juga telah menandatangani beberapa penjanjian permuafakatan jalinan kerjasama dalam menyediakan latihan kemahiran dan pendidikan kepada bekas atlet sebagai bantuan untuk mereka beralih ke bidang pekerjaan lain selepas bersara dari dunia sukan.
“Sektor yang boleh diterokai termasuk kejurulatihan, keusahawanan dan pengurusan sukan. Agensi yang telah memberikan kerjasama termasuklah UMPSA, UiTM Cawangan Jengka, KPTM dan beberapa lagi agensi yang terlibat.
“Majlis Sukan Pahang telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awan Negeri Pahang (SPA) bagi menyokong bekas atlet mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Syarikat swasta juga boleh digalakkan untuk mengambil bekas atlet bekerja sebagai penghargaan terhadap jasa mereka kepada negeri.
“Seramai 44 peratus kakitangan Majlis Sukan Pahang adalah terdiri daripada kebangsaan dan juga antarabangsa bekas-bekas atlet Negeri Pahang sama ada diperingkat Sukan Malaysia, kebangsaan dan juga antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

