Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Sebanyak 35,551 kes kemalangan telah direkodkan berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bagi tempoh 20 tahun ia beroperasi sejak 2004 sehingga Disember 2024.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, sepanjang tempoh tersebut juga 730 kes kematian juga telah direkodkan berlaku.
“Aspek keselamatan adalah merupakan perkara yang diberikan keutamaan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Syarikat Konsesi dalam pelaksanaan operasi lebuh raya bagi memastikan pengguna lebuh raya selamat dan selesa apabila menggunakan lebuh raya.
“Pihak LLM menerusi sistem aplikasi Malaysia Highway Road Accident Analysis & Database System (MHROADS) yang dibangunkan pada tahun 2016 telah merekodkan data-data kemalangan di sepanjang jajaran lebuh raya.
“Analisa kemalangan akan dilaksanakan setiap tahun bagi mengenalpasti sekiranya terdapat lokasi yang kerap berlaku kemalangan (blackspot) supaya tindakan mitigasi sewajarnya dapat diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan di lokasi berkenaan pada tahun berikutnya. Keberkesanan tindakan mitigasi yang dilaksanakan akan dipantau untuk memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengurangkan risiko kemalangan di Lebuhraya LPT1, audit keselamatan jalan raya peringkat 5 bagi jalan telah beroperasi telah dilaksanakan dengan mengambil tindakan penambahbaikan dan mitigasi.
“Kerjasama dengan pihak penguatkuasaan seperti PDRM dan JPJ bagi memastikan kenderaan berat yang menggunakan lebuhraya mematuhi undang-undang yang ditetapkan terutamanya kesalahan lebihan muatan.
“Memastikan info dan hebahan awam dibuat dengan cepat dan jelas kepada pengguna berkenaan sebarang kejadian hal luar jangka yang berlaku bagi memudahkan pengguna lebuhraya merancang perjalanan.
“Dan melakukan kempen keselamatan dan sesi advokasi bersama pengguna lebuh raya bagi meningkatkan kesedaran berkenaan aspek keselamatan dan kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Dato’ Wong Tat Chee pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

