Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Pahang telah memperuntukkan RM650,000 melibatkan enam projek infrastruktur bagi menarik pelancong ke Cameron Highlands tahun lepas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, usaha tersebut antara perancangan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Pahang telah merancang dan melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan sektor pelancongan di Cameron Highlands. Antaranya termasuk memperbaiki infrastruktur pelancongan, mempromosikan destinasi melalui pelbagai platform, dan memastikan kelestarian alam sekitar melalui program pemuliharaan.
“Antara projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi daerah Cameron Highlands pada tahun 2024 bagi daerah Cameron Highlands adalah menaik taraf mercu tanda dan kerja-kerja berkaitan di Tanah Rata (RM250,000); pencahayaan lampu hiasan dan kerja-kerja berkaitan di Taman Selamat Datang Tanah Rata (RM150,000).
“Pencahayaan jenis LED di sempadan Simpang Pulai – Cameron Highlands serta kerja-kerja berkaitan (RM100,000); pencahayaan di sempadan Lojing – Cameron Highlands serta kerja-kerja berkaitan (RM30,000); pencahayaan di sempadan Tapah – Cameron Highlands serta kerja-kerja berkaitan (RM50,000); dan pencahayaan di sempadan Lipis – Cameron Highlands serta kerja-kerja berkaitan (RM70,000),” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan Insurans Kelompok kepada pengusaha pelancongan di seluruh Negeri Pahang melibatkan 361 pengusaha.
“Antara kategori yang terlibat adalah pemandu pelancong seramai 54 orang; pemandu bot pelancong (11 orang); malim gunung Pahang (MGP) (100 orang); dan pengusaha homestay Negeri Pahang (196 orang).
“Insurans in diuruskan oleh syarikat Zurich General Takaful Berhad. Kemudahan yang diterima oleh penerima insurans adalah seperti kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan (RM100,000).
“Pembayaran balik pencarian dan pemindahan (RM10,000); perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM2,500); dan pendapatan hospital akibat kemalangan maksimum 30 hari adalah RM50 (sehari) bagi mana-mana hospital Kerajaan dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB. Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

