Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mewujudkan platform Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Kesejahteraan Rakyat di peringkat negeri dan daerah sebagai usaha memastikan miskin tegar dapat dinoktahkan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata jawatankuasa ini bertujuan mengenal pasti dan memastikan kesahihan keluarga yang tergolong dalam kategori miskin tegar.
“Melalui jawatankuasa ini, jabatan dan agensi pemberi bantuan di peringkat daerah akan bekerjasama melaksanakan siasatan dan lawatan ke rumah secara berkala berdasarkan senarai dalam Sistem e-kasih bagi membuat semakan dan mengesyorkan bantuan yang layak untuk golongan ini.
“Jawatankuasa Focus Group ini akan memastikan tiada pertindihan penyaluran bantuan berlaku serta setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori Miskin Tegar menerima bantuan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka dikeluarkan dari kategori miskin tegar.
“Pemantauan dan pelaporan berterusan mengenai status KIR yang mendapat bantuan ini dilaksanakan melalui Focus Group di peringkat daerah dan hasil pelaporan ini akan dibawa ke Focus Group peringkat negeri bagi memastikan senarai KIR dalam miskin tegar dapat dinoktahkan,” katanya.
Tambah beliau, selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang turut memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan melalul Program Sentuhan Rakyat Makmur.
“Selain platform Mesyuarat Jawatankuasa Focus Group Kesejahteraan Rakyat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang juga turut mengenal pasti dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan melalul Ziarah Makmur dalam Program Sentuhan Rakyat Makmur yang dilaksanakan di setiap daerah di Negeri Pahang bermula tahun ini.
“JKM Negeri Pahang juga turut melaksanakan program Kad Kesihatan Kasih Makmur kepada golongan warga emas, miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membolehkan golongan ini mendapatkan rawatan kesihatan percuma di klinik panel swasta yang terpilih,” katanya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKDW) turut menjalankan inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi membasmi kemiskinan luar bandar.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut terlibat dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi yang menumpukan kepada pembasmian miskin tegar dan pengupayaan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk meningkatkan pendapatan.
“Di bawah IPR melalui Inisiatif Basmi Miskin Tegar (BMT), setakat bulan Januari 2025, Kementerian Ekonomi telah meluluskan 48 program IPR-BMT di Negeri Pahang dalam pelbagai sektor ekonomi peruntukan sebanyak RM3.095 juta.
“Selain itu, melalui Insiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang juga merupakan program di bawah IPR sehingga Januari 2025, seramai 28 orang penerima telah berjaya menjana pendapatan baharu dengan pengoperasian mesin layan diri ditempatkan di pelbagai kawasan strategik seperti di institusi
pendidikan, hospital, masjid dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

