Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Keberanian luar biasa YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu pencerobohan tanah haram serta ketirisan hasil kerajaan negeri disifatkan sebagai tindakan yang membanggakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkata, langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja selari dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, malah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kedaulatan tanah serta hasil bumi negeri ini.
“Kita sebagai rakyat jelata amat bangga dengan keberanian luar biasa YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy kita yang telah bertindak tegas dan meluaskan usaha untuk mengatasi masalah (pencerobohan) ini.
“Bukan sekadar apa yang berlaku di Raub itu, tetapi juga hampir seluruh negeri Pahang usaha ini sedang dilakukan. Ini merupakan satu tindakan yang cukup baik dan merupakan satu keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 adalah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB. Menteri Besar sejak beliau dilantik pada 15 Mei 2018.
“Ini merupakan satu usaha yang menjadi keutamaan sejak ADUN Jelai jadi menteri besar. Jadi kita memang menyanjungi usaha ini dan kita nampak usaha ini menyamai atau menyambut titah perintah Tuanku.
“Jadi saya percaya selepas ini kita tidak akan memandang ke belakang lagi, untuk tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara konsisten dengan pendekatan yang telus berlandaskan undang-undang dan tidak kira siapa yang melakukan… besar, kecil.. kaya, miskin… tindakan ini mesti dinoktahkan,” tegasnya.
Beliau justeru menzahirkan sokongan penuh terhadap hasrat kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku untuk menoktahkan segala bentuk pencerobohan serta rompakan terhadap harta kerajaan negeri yang kini disifatkan sebagai musuh nombor satu negeri Pahang.
“Jadi dalam konteks ini, sebagai ahli dewan, menjadi tanggungjawab kita… sebagai pengamal undang-undang, wakil rakyat dan setiap ahli dewan harus memikul amanah besar ini mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, bukan sekadar tanggungjawab moral malah merupakan tunjang kepada kestabilan negara,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

