Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengambil berat dan mahukan masyarakat Orang Asli di negeri ini memiliki tanah yang sah bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa eksploitasi pihak tertentu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Kerajaan Negeri melalui ORACO melakukan pelbagai bantuan bagi memastikan masyarakat Orang Asli untuk mendapat hakmilik tanah.
“Kerajaan Negeri sangat mengambil berat dan inginkan masyarakat Orang Asli mempunyai pemilikan tanah yang sah supaya mereka tidak mudah dieksploitasi oleh pihak lain. Oleh itu adalah tidak wajar Kerajaan Negeri dan ORACO dituduh sedemikian, malahan pihak Kerajaan Negeri melalui ORACO sangat membantu masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan hakmilik tanah.
“Sebagai contoh bagi tahun 2024, dua buah kampung telah menerima hakmilik bagi tapak rumah, iaitu Kampung Orang Asli Paya Sendayan, Daerah Temerloh melibatkan seramai 158 penerima dan Kampung Orang Asli Sungai Gapoi, daerah Bentong seramai 37 penerima yang menjadikan keseluruhan penerima seramai 195 orang.
“Selain itu, 15 projek Tanaman Semula Komersial Orang Ali (TSKOA) telah mempunyal hakmilik individu yang melibatkan jumlah peserta seramai 606 orang. Manakala bagi Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) Negeri Pahang yang dihentikan operasi oleh Risda Plantation Sdn. Bhd. (RPSB) pada 9 Februari 2024, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-9/2024 bertarikh 6 Mac 2024 telah melantik ORACO untuk menguruskan Projek TSKOA bagi 74 ladang di seluruh negeri Pahang dengan jumlah keluasan 10,759.89 hektar,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan ORACO untuk menyelesaikan pemilikan tanah serta meluluskan permohonan bagi mewartakan Kampung Orang Asli Pos Terisu sebagai Tapak Projek Ekonomi Orang Asli Pos Terisu.
“Kerajaan Negeri mengarahkan ORACO dalam tempoh dua tahun untuk menyelesaikan pemilikan tanah sebanyak 59 ladang dan seramai 5.292 peserta yang melibatkan kawasan seluas 9,424.44 hektar.
“Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-6/2025 pada 5 Februari 2025 telah meluluskan permohonan ORACO untuk mewartakan Kampung Orang Asli Pos Terisu, Mukim Ulu Telum, daerah Cameron Highlands seluas 907.196 hektar di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara (Akta 828) sebagai Tapak Projek Ekonomi Orang Asli Pos Terisu.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada empat buah kampung yang terletak di dalam Pos Terisu dengan jumlah Ketua Isi Rumah seramai 323 orang. Jumlah pendapatan bagi Kampung Sungai Telimau adalah sebanyak RM277,350 dan Kampung Terisu sebanyak RM900,000 bagi tempoh setahun bagi kawasan yang telah dibangunkan. Manakala terdapat lagi kawasan yang belum dibangunkan lebih kurang 550 ekar yang mana sekiranya dapat dibangunkan nanti akan dapat meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chung Kuang pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

