Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dengan memperluas sektor penanaman padi melalui kerjasama bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, bagi tahun 2024, jumlah agihan BPT yang diterima negeri ini adalah sebanyak 206,388 kampit beras 10 kilogram (kg).
“Agihan ini diagihkan melalui outlet pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) seperti Agrobazaar, pasar tani kekal dan pasar tani.
“Selain itu, FAMA dan LPP turut menjalankan jualan terus kepada pengguna melalui program Jualan Agro Madani yang dilaksanakan di lokasi terpilih di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, YB. Dato’ Haji Andansura Rabu dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah beliau, syarikat pemborong beras utama seperti Jasmine, OEL dan Serba Wangi PH turut mengagihkan BPT ke pasar raya terpilih namun jumlah agihan ini terhad mengikut stok semasa yang diperoleh.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan berkaitan inisiatif penyelesaian isu bekalan BPT di negeri ini, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan pengeluaran BPT.
“Antara usaha tersebut ialah penglibatan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di kawasan Merchong melibatkan keluasan 525 hektar, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Rompin seluas 1,214 hektar serta Yayasan Pahang di Ganchong melibatkan kawasan 202 hektar,” katanya.
Menurut beliau, pengeluaran BPT di peringkat nasional kini hanya sekitar 60 peratus daripada jumlah asal disebabkan pengurangan kawasan penanaman padi, khususnya di Kedah.
“Negeri seperti Kedah yang dahulu mempunyai banyak sawah padi kini terjejas akibat pembangunan projek perumahan. Oleh itu, kita terpaksa mengimport lebih banyak bekalan beras untuk menampung keperluan rakyat,” jelasnya.-PAHANGMEDIA

