Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Seramai 665 warga emas di Pahang dijangka menerima subsidi bagi menjalani pembedahan katarak mata menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Inisiatif Makmur (IM) Pahang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, inisiatif berkenaan adalah lanjutan daripada program Bantuan Prihatin Pahang yang mula dilaksanakan pada tahun lalu menerusi Belanjawan Pahang 2024.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda kebajikan rakyat Pahang Darul Makmur yang menyasarkan peningkatan kualiti kesihatan penglihatan dalam kalangan warga emas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang turut mencadangkan agar kuota 10 peratus daripada jumlah penerima subsidi setiap tahun diberikan kepada golongan kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penerima subsidi kali pertama.
“Cadangan ini berdasarkan data tahun 2024 yang menunjukkan tiga golongan terbabit tidak berkemampuan mendapatkan rawatan kerana subsidi sebelum ini hanya diberikan kepada warga emas sahaja,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutama dalam kalangan golongan berisiko serta memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan kesihatan yang sewajarnya. -PAHANGMEDIA

