Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyambut baik inisiatif FELDA dengan kerjasama Yayasan FELDA dalam usaha membangunkan tiga pusat hemodialisis baharu di negeri ini yang dijangka siap pada Julai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pembangunan pusat tersebut melibatkan tiga wilayah FELDA iaitu Pusat Hemodialisis FELDA Tapak Hostel Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak(PPPTR), Jerantut, dengan kapasiti enam kerusi Dialisis Non-Hepatitis; Pusat Haemodialisis FELDA Keratong 4, Bandar Tun Razak, Rompin dengan kapasiti enam kerusi Dialisis Non-Hepatitis; dan Pusat Haemodialisis FELDA Kolej Yayasan FELDA Pahang, FELDA Jaya Timur Mempaga, Bentong dengan kapasiti enam kerusi Dialisis Non-Hepatitis.
“Untuk makluman, ketiga-tiga pusat hemodialisis ini dibangunkan di bangunan sedia ada dan juga dalam proses naiktaraf yang dijadualkan siap pada Julai tahun ini.
“Peralatan dan mesin dialisis juga telah tersedia dan pusat ini akan boleh operasi sebaik sahaja menerima keputusan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dalam sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, peralatan dan mesin dialisis bagi ketiga-tiga pusat terbabit telah pun tersedia dan operasi akan dimulakan sebaik sahaja menerima kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sepanjang tahun 2023, pihak KKM telah menerima sebanyak 12 permohonan perlesenan pusat hemodialisis FELDA di seluruh Malaysia, dan tiga daripadanya adalah untuk negeri Pahang,” katanya lagi.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan berkaitan insentif intun warga FELDA yang menjalani rawatan berkenaan, YB. Dato’ Amizar berkata, FELDA turut menyediakan pakej bantuan kesihatan kepada peneroka dan warga FELDA yang sedang menjalani rawatan dialisis, seperti yang telah diumumkan sebelum ini. -PAHANGMEDIA

