Oleh: Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 20 APRIL 2025: Kerajaan Negeri Pahang tidak akan bertolak ansur dan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pencerobohan tanah haram di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar bermula 2018 hingga kini, sebanyak 3,366 hektar tanah haram telah berjaya dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri.
“Kita tidak lagi bertolak ansur. Tujuan kita ialah untuk mendidik dan menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan aktiviti tidak sihat di bumi Pahang ini.
“Dahulu siapa yang membuat kerja haram ini dikenakan kompaun tetapi kini tuan-tuan puan boleh tengok, bermula tahun 2023, tidak ada lagi kompaun, yang ada adalah kita membawa individu-individu terbabit ke muka pengadilan. Dua minggu lepas kita membawa dua orang yang meneroka tanah secara HARAM telah pun didenda sebanyak RM100,000 seorang.
“Sebelum itu kompaun RM20,000.. RM30,000, tetapi kali ini kita bawa ke mahkamah tujuannya adalah untuk mendidik dan menunjukkan bahawa kerajaan negeri pahang tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua yang menjalankaan aktivitti-aktiviti yang tidak sihat di bumi Pahang ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan peramisan program Moh Karnival Makmur Bentong @ Pelangai yang berlangsung di Dataran Felda Chemomoi, di sini, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Pengerusi Moh Karnival Makmur Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam serta Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menegaskan bahawa tohmahan kononnya Kerajaan Negeri tidak mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah adalah tidak berasas.
“Kalau ada tohmahan.. ada cerita yang mengatakan kerajaan negeri tidak mengambil tindakan.. Tuan dan puan boleh tengok rekod. Semenjak tahun 2019 Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan ke atas siapa jua yang membuat aktiviti-aktiviti haram ini,” ujarnya
Katanya lagi, antara kes terbaharu adalah pada tahun lalu iaitu melibatkan kawasan seluas 1,000 ekar (404.6 hektar) di Hutan Simpan Sungai Perdak, Bentong yang diceroboh untuk aktiviti penanaman pokok durian secara haram.
“Yang terkini ialah sebanyak 1,000 ekar di kawasan Bentong. Ketika itu (tahun lalu) saya saja meronda.. Kerajaan Negeri sewa helikopter.. Saya naik, saya ronda seluruh negeri Pahang.
“Tiba-tiba di Hutan Simpan Sungai Perdak, terdapat di tengah-tengah hutan, saya tengok daun hutannya lain daripada itu yang lain. Saya mintak juruterbang rendahkan helikopter dan saya dapati bahawa daun itu adalah daun pokok durian. Sebanyak 1000 ekar telah ditanam secara haram.
“Dan (susulan itu) saya telah mengarahkan pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) supaya mengambil tindakan serta merta supaya tanah tersebut dapat dikembalikan kepada Kerajaan Negeri di Hutan Simpan Sungai Perdak. Itu yang terkini,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

