Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 20 APRIL 2025: Penganjuran Moh Karnival Makmur Bentong @ Pelangai yang berlangsung di Dataran Felda Chemomoi malam tadi disifatkan sebagai antara yang terbaik dengan kelainan tersendiri yang mengetengahkan konsep kampung tradisi.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, penganjuran kali ini dilihat bukan sahaja berjaya mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat tetapi juga turu memboleh masyarakat mengimbau kenangan zaman silam.

“Saya sempat naik 12 rumah tradisi, dan itu kelainannya. Teringat masa kecil dahulu, itulah pelita saya guna waktu kecil, dan itulah televisyen (kotak kayu) yang saya tengok ketika saya berumur tujuh atau lapan tahun… ada tadi ditunjukkan.
“Jadi bagus, program sebegini mengingatkan kita kepada asal usul kita dan saya mengingat kembali waktu saya kecil dahulu,” katanya ketika berucap merasmikan karnival tersebut.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Pengerusi Moh Karnival Makmur Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam serta Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran tersebut dan berharap pendekatan sebegini dapat diteruskan di lokasi-lokasi lain.

“Saya ucapkan tahniah kepada Dato’ Sabariah kerana saya beritahu kepada beliau jangan stagnant, maknanya jangan buat Karnival Makmur ini di setiap daerah sama sahaja. Tapi nampaknya telah beliau berjaya membuat perbezaan pada malam ini dan saya sangat teruja dengan penganjuran pada kali ini. Syabas dan tahniah.
“Dan juga saya ucapkan tahniah kepada Dato Amizar selaku wakil rakyat di kawasan ini yang telah berjaya menghimpunkan, mendatangkan masyarakat di sekitarnya. Saya juga ucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa dan juga mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.
Beliau juga berkata, program anjuran Kerajaan Negeri Pahang itu juga turut memberi ruang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara terus daripada agensi kerajaan.
Majlis menyaksikan penyampaian replika cek pembayaran cukai oleh syarikat dan agensi di sekitar Bentong kepada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM28,045,104 setakat malam tadi.-PAHANGMEDIA

