Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 20 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1.66 juta kepada 1,725 jemaah haji tahun ini melalui bantuan Barakah Haji Pahang yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan sebanyak RM 750 seorang ini merupakan tanda ingatan daripada Kerajaan Negeri kepada mereka yang menunaikan haji.
“Alhamdulillaah, Kerajaan Negeri Pahang tahun ketiga berturut-turut dapat memberikan bantuan duit poket kepada kira-kira 1,700 jemaah yang akan berangkat ke tanah suci.
“Semoga ia dapat sedikit sebanyak membantu meringankan kewangan mereka. Sesiapa sahaja rakyat negeri Pahang yang menunaikan haji, tidak kira siapa pun kita akan beri bantuan duit poket. Ini sebagai tanda ingatan tulus ikhlas kerajaan negeri kepada mereka yang menunaikan haji,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga melancarkan buku Himpunan Doa di Arafah yang turut dibekalkan kepada semua jemaah haji di negeri ini selain memberi pek makanan sedia di makan.
“Hari ini kita pun melancarkan buku Himpunan Doa di Arafah yang kita bekalkan kepada semua jemaah haji. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan saya, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad bersama dengan pegawai jawatankuasanya kerana berjaya menerbitkan buku ini untuk kita agihkan kepada semua jemaah haji.

“Dan dalam masa sama kerajaan negeri juga ada membekalkan makanan yang kita panggil retot (ready to eat) kepada mereka. Ini makanan tradisional.
“Sekurang-kurangnya jika mereka teringat nak makan kari ke kurma ayam ke, mereka boleh makan makanan yang dibekalkan dengan retot,” katanya.
Beliau yang akan turut menunaikan ibadah haji bersama isteri dan anak turut melahirkan harapan supaya jemaah haji dari Pahang dapat menjaga kesihatan dan mematuhi arahan.
Saya berharap semua jemaah haji dapat menjaga kesihatan mereka, disiplin yang tinggi, mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Tabung Haji. Kita doakan supaya mereka dapat pergi dan dapat kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Program Barakah Haji Pahang Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi serta melancarkan Buku Himpunan Doa Arafah di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Zaliza Zulkipli. -PAHANGMEDIA

