Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 07 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang dititah supaya dapat memperkemaskan dan meningkatkan sistem pentadbiran terutamanya birokrasi kerajaan agar lebih efektif dan teratur.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah ia bagi memantapkan dan mempercepatkan kelulusan yang membawa manfaat kepada Negeri Pahang.
“Antara yang saya perhatikan iaitu kalau boleh kerajaan di bawah pimpinan yang baru akan datang ini nanti supaya mengkaji segi selok belok kelemahan-kelemahan di dalam birokrasi kerajaan.
“Birokrasi dan juga soal urusan kewangan lebih terperinci dan teratur. Dan ini penting kerana kita tidak mahu adanya seolah-olah kerajaan yang besar tetapi keberkesanannya tidak begitu berkesan. So it’s a redundant, seolah rugi sahaja, sepatutnya kalau besar (negeri) mesti lebih berkesan lebih efektif. So harap ini dapat dikajilah.
“Ini bukan bermakna kita nak mengurangkan tetapi nak memantapkan lagi urusan pentadbiran, kurangkan birokrasi, proses kelulusan, percepatkan kelulusan-kelulusan, tidak melambatkan khususnya bab-bab tanah, bab-bab kelulusan projek-projek yang boleh mendatangkan kebaikan untuk negeri,” titah baginda.

Paduka Baginda dalam titah turut meminta Kerajaan Negeri Pahang mengkaji tempoh proses kelulusan dan syarat yang diberikan bagi beberapa perkara.
“Prosesnya sekarang dah ada dah bertulis semua ni tetapi saya rasa ini boleh dikaji dan dipercepatkan lagi. Kalau katalah kelulusan itu boleh buat dalam masa 40 hari, maka kenapa nak buat sampai 60 hari? Kenapa nak buat 80 hari? Contohnyalah. So dimanakah kelemahannya di situ? Kajilah semula.
“Kalau proses nak lulus, nak buat rumah ke apa, kadangkala banyak sangat prasyaratnya. Kena ada paip airlah, kena ada bomba punya keselamatanlah. Agak terlalu ketat juga. Rumah bukanlah besar sangat, jangan ketat sangat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah syarat melibatkan keselamatan, industri, dan keperluan rakyat perlu diberikan perbezaan dan kajian oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Bolehlah kata sedikit sebanyak ini adalah desas desus yang saya dapat dengar daripada rungutan rakyat. Tapi ini secara keseluruhan sahaja lah, yang datang pun bukannya ramai sangat, bukanlah majoriti rakyat datang jumpa saya pasal ini. Individual lah. Tak semua.

“Tapi yang mana yang boleh meringankan proses untuk kebaikan rakyat, silakan. Yang mana untuk memperketatkan syarat-syarat segi keselamatan, dari segi kaedah untuk industri-industri perlulah juga diperkemaskan juga.
“Proses nak buat jalan ke apa di kampung-kampung jangan menyusahkan juga. Kena ada besar ini, tinggi ni lah,” titah baginda.
Paduka Baginda ditemui selepas Sesi Kunjung Hormat Barisan Kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang ke Istana Abdulaziz.
Mengiringi baginda, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan isteri, YBhg. Datin Sri Harlina Arshad; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin dan isteri, YBhg. Datin Sri Marzanita Omar; dan YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan isteri, YBhg. Datin Indera Noorhayati Ismail. -PAHANGMEDIA

