Oleh : Safiah Hanani Norhalizan & Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 5 APRIL 2025: Lebih 10,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai Sungai Koyan di sini, hari ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini menyaksikan kehadiran pengunjung yang lebih ramai berbanding tahun lalu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini, Alhamdulillah kehadirannya sangat baik, malahan saya dimaklumkan lebih ramai daripada tahun sebelumnya.
“Tapi syukur Alhamdulillah, makanan (sediakan) lebih, memang kita jangkakan. Bagi saya biarlah ada lebih sikit daripada tak cukup.
“Saya difahamkan pengunjung lebih daripada 10,000 , sebab saya ada bagi duit raya dekat kanak-kanak lebih daripada 5,000 maknanya termasuk ibu bapa dan sebagainya lebih lah daripada 10,000,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jelai hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam
Dalam pada itu, Majlis Rumah Terbuka kawasan Dun Jelai ini merupakan acara tahunan apabila menjelang Hari Raya Aidilfitri

“Sejak saya menjadi wakil rakyat DUN Jelai, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri saya akan buat jamuan hari raya untuk penduduk di Jelai.
“Dan hari ni khas untuk penduduk di Jelai. Tetapi saya juga mengalu-alukan kehadiran tetamu yang diluar daripada Jelai,”katanya lagi.-PAHANGMEDIA

