Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyampaikan bantuan kepada tiga lagi anak Pahang yang telah dikenalpasti menjadi mangsa dalam kejadian kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Selangor.
Menurut Puan Ainun Bariah Peai, 36, yang berasal dari Taman Tas, Kuantan, sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang ini amat dihargai memandangkan kediamannya sekeluarga musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar kerana memberi sumbangan. Saya sangat hargai sebab rumah saya memang total loss dan kami akan tinggal di PPS (Pusat Pemindahan Sementara) buat sementara waktu sehingga kami dapat tempat (tinggal baharu),” katanya yang bekerja sebagai pakar jualan.
Kongsi Puan Ainun Bariah lagi, dia bersyukur ketika kejadian dia dan keluarga berada di Kuantan bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan ia menyelamatkan anak-anaknya yang masih kecil daripada tercedera.
“Saya rasa tak ralat sangat sebab saya balik kampung, balik Kuantan waktu raya tu. So anak-anak pun ada dengan saya, anak-anak saya kecil lagi so saya imagine sebab jiran sebelah melecur, apa jadi kalau saya tak balik kampung.
“Kalau ikutkan memang turn raya tahun ni di rumah mertua di sini, tapi mertua decide nak balik beraya di Bera, so itu yang saya pun balik beraya di Kuatan. Saya rasa beryukur sangat kepada Allah, Allah lindung kami,” katanya yang mempunyai tiga anak.
Sementara itu, Puan Norhusnaini Rahim, 40, yang berasal dari Maran turut melahirkan penghargaan diatas sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada mangsa-mangsa yang merupakan anak Pahang.
Seorang lagi penerima yang dikenalpasti ialah Puan Suhaida Suid, 48, yang berasal dari Felda Jengka 20, Maran.
Kesemua tiga mangsa ini ditempatkan di Pusat Perlindungan Sementara (PPS) Dewan Camelia Putra Heights selepas kejadian pada 1 April lepas melibatkan 364 mangsa daripada 74 keluarga.
Bantuan awal ini disampaikan oleh Pegawai Sekretariat Perantau Anak Pahang, Encik Syed Anas Dato’ Sri Syed Ali kepada ketiga-tiga mangsa ketika melawat mereka di Pusat Pemindahan Sementara. -PAHANGMEDIA

