Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 20 MAC 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Negeri Pahang mesti menjadi contoh dalam mempertahankan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
Titah Paduka Baginda, Bahasa Melayu dan tulisan Jawi bukan sekadar simbol tetapi lambang ketuanan dan kedaulatan bangsa yang perlu dibela demi kelangsungan jati diri generasi akan datang.
“Negeri Pahang; sebagai negeri yang kaya dengan adat, budaya dan sejarah, mesti menjadi contoh dalam mempertahankan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

“Bahasa Melayu dan tulisan Jawi bukan sekadar simbol, tetapi lambang ketuanan dan kedaulatan bangsa ini.
“Ia adalah legasi yang perlu kita pertahankan demi kelangsungan jati diri generasi akan datang. Jika kita tidak membela warisan ini, maka siapakah yang akan mempertahankannya?,” titah Paduka Baginda ketika majlis perasmian Masjid Baharu Kampung Seberang Jelai dengan memahsyurkannya dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta majlis berbuka puasa, di sini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAB Meneri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.

Paduka Baginda juga bertitah, bahasa Melayu dan tulisan Jawi merupakan cerminan warisan yang telah menjadi tunjang peradaban bangsa yang perlu dipelihara.
“Bahasa Melayu bukan sekadar alat bicara, bukan sekadar penyambung kata, tetapi ia adalah nadi tamadun, jiwa bangsa, dan wadah kebijaksanaan yang telah mengalir dalam peradaban kita sejak zaman berzaman.
“Bahasa ini telah menjadi tonggak penyatuan bangsa, menyulam makna dalam segenap detik sejarah, dan merakam peristiwa dalam tinta yang tidak akan luntur ditelan zaman,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ianya tidak boleh dipinda selain mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.
“Oleh yang demikian, dalam kancah arus moden yang sering mengagungkan bahasa asing, janganlah kita menjadi alpa hingga bahasa sendiri terpinggir.
“Saya agak khuatir melihat semakin ramai yang lebih ghairah menjunjung bahasa asing, hingga lupa bahawa bahasa sendiri adalah lambang maruah dan harga diri bangsa,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan usaha memartabatkan tulisan Jawi yang merupakan amanah yang wajib dipikul.
“Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan Dasar Penggunaan Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi dalam premis perniagaan dan papan tanda sejak tahun 2020, dan saya berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini.
“Pemerkasaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi bukan hanya sekadar agenda negeri, tetapi juga agenda nasional yang perlu kita junjung dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab,” titah Paduka Baginda.-PAHANGMEDIA

