Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 21 MAC 2025: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan subsidi lebih RM1.1 juta bagi pelaksanaan program Jualan Makmur 2025 Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri, sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah menjelang sambutan Aidilfitri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat negeri ini diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan menerusi program tersebut kerana ia bukan diadakan sepanjang masa.
“Harapan saya supaya rakyat negeri Pahang gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana bukan selalu kerajaan negeri dapat adakan Jualan Makmur seperti ini.

“Kita buat sempena musim-musim perayaan dan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.
“Hari ini sahaja kita tawarkan potongan harga sehingga 30 peratus melibatkan lebih 50 jenis barangan keperluan seperti bawang, beras, minyak, mi segera, buah-buahan, ayam, daging dan ikan,” katanya ketika meninjau program Jualan Makmur Kluster Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Laman Sejahtera Koyan, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Encik Sim Chon Siang.
Menurut Wan Rosdy, program berkenaan menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai yang rata-ratanya mengakui harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding pasaran.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat saya Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengguna.
“Program ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat, lebih-lebih lagi kita akan menyambut Aidilfitri dalam masa terdekat, kira-kira 10 hari dari sekarang,” katanya.
Tambah beliau, selepas ini program Jualan Makmur akan diteruskan di beberapa lokasi lain termasuk Bandar Lipis, Jengka dan di 26 lokasi seluruh negeri Pahang.
Sementara itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam pada itu turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM284,850 kepada 41 penerima bertempat di Dewan UMNO Sungai Koyan, di sini hari ini.
Sumbangan tersebut diberikan untuk kegunaan pelbagai termasuk penganjuran program dan perlaksanaan projek, melanjutkan pengajian, membeli peralatan perniagaan dan membaikpulih rumah.-PAHANGMEDIA

