Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 20 MAC 2025: Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini meluahkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang menyalurkan sumbangan bagi persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
Guru KAFA, Aisyah Abu Bakar, 31, berkata bantuan itu amat bermakna buat dirinya dan rakan-rakan guru KAFA lain dalam membuat persiapan menyambut lebaran yang dijangka disambut pada 31 Mac ini.

“Dengan sumbangan Kerajaan Negeri berikan kepada kami sebanyak RM300, kami sangat berterima kasih dan dapat membantu (persiapan) raya pada 31 Mac nanti, insya-Allah.
“Kami mewakili guru KAFA ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memandang guru KAFA walaupun kami bukan berjawatan kontrak dan hanya dibayar elaun sahaja, tetapi Kerajaan Negeri memandang kami untuk memberi bantuan perayaan pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Zaini Seman, 56, turut berkongsi kegembiraannya menerima bantuan tersebut yang disifatkan sebagai mencukupi untuk persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Gembira sangat. Bolehlah membantu untuk persiapan raya. Terima kasih banyak-banyak.
“Alhamdulillah dapat banyak itu (RM300) sebab kita (guru KAFA) ramai kan. Dapat banyak itu untuk seorang kira banyak dah,” ujarnya.
Kerajaan Negeri melalui YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan pemberian sebanyak RM1.761 juta sumbangan Kerajaan Negeri kepada petugas agama negeri ini termasuk guru KAFA, penyelia KAFA, imam, bilal, siak serta guru takmir negeri ini.
Beliau berkata, sumbangan yang diserahkan bersempena Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Negeri Pahang Tahun 2024 bertempat di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku, di sini hari ini adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha semua pihak dalam memperkasakan syiar Islam di Pahang. -PAHANGMEDIA

