Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 MAC 2025 : Unit Ladang Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) mencatatkan pendapatan paling tinggi dalam tempoh 57 tahun iaitu sebanyak RM224.88 juta bagi tahun kewangan 2024.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah pendapatan terbabit adalah berikutan keadaan harga sawit yang baik dan pengurusan KOSMA yang cekap.
Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri mengumumkan pembayaran dividen bagi kewangan tahun 2024 meningkat kepada RM5,000 bagi setiap unit ladang berbanding RM4,500 tahun lalu.
“Sehubungan dengan itu Kerajaan Negeri amat berbesar hati untuk mengumumkan pembayaran dividen bagi kewangan yang berakhir pada tahun 2024.
“Berdasarkan prestasi kewangan KOSMA yang kukuh dengan pendapatan sebanyak RM224.88 juta dengan keuntungan bersih sebanyak RM134.17 juta,” katanya dalam satu sidang media Pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Tahun 2024 yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam dan barisan ahli lembaga pengarah KOSMA.
Katanya lagi, bayaran interim bagi satu unit ladang akan mula dibuat hari ini bagi membantu anggota KOSMA membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini.
“Setiap anggota juga layak dibayar interim untuk satu unit ladang bermula hari ini bagi membantu anggota untuk membuat persediaan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri pada penghujung bulan ini.
“Manakala bagi baki bayaran pula akan dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan KOSMA kali ke-40 yang akan diadakan pada 21 Jun 2025,” ujarnya.
Tambahnya, jumlah unit ladang sebanyak 12,638 unit dengan kos keseluruhan yang terlibat bagi pembayaran dividen tahun ini adalah sebanyak RM63.19 juta.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor ekonomi dan kesejahteraan anggota KOSMA iaitu seramai 1,456 orang anggota KOSMA.
“Saya sangat yakin bahawa peningkatan kadar dividen ini akan memberi faedah dan manfaat yang besar kepada anggota KOSMA dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Dan Kerajaan Negeri InsyaAllah akan terus menyokong dan memperkasakan sektor koperasi demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

