Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 MAC 2025 : Kerajaan Pahang akan membina empat kawasan hentian rawat dan rehat (R&R) sementara di lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dijangka siap kira-kira lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dua R&R sementara akan dibina di Bentong melibatkan kedua-dua arah laluan, manakala masing-masing satu di Lipis dan Raub.
Menurutnya, pembinaan kemudahan itu dibuat susulan aduan pengguna yang berdepan kesukaran mendapatkan tempat sesuai untuk berhenti rehat, menukar lampin bayi dan sebagainya.
“Kita telah meminta sedikit peruntukan dari kerajaan persekutuaan dan untuk mempercepatkan dan ianya perlu dibuat dengan segera, mungkin bajet lambat dapat, kita akan gunakan peruntukan Kerajaan Negeri dan kita akan gantikan balik dengan peruntukan kerajaan persekutuan.
“Dan ianya akan siap empat, lima hari sebelum raya,” katanya dalam satu sidang media Pengumuman Dividen Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Tahun 2024 yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam dan barisan ahli lembaga pengarah KOSMA.
Beliau berkata, keempat-empat R&R sementara berkenaan akan terus digunakan selepas Aidilfitri sebelum dibina R&R tetap di lokasi sama sebaik sahaja peruntukan diterima dari Kerajaan Persekutuan.
“Tapi yang sementara ini… nama pun sementara. Ia tidak sepertimana yang kekal, jadi kita harap pengguna memahami. Daripada tiada langsung, biarlah ada.
“Sekurang-kurangnya dapat membantu menyelesaikan masalah. Yang kekal kita akan bina juga, kita sudah dalam proses dan akan laksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Dato’ Sri Wan Rosdy turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.
“Yang pertama sekali saya ingin memaklumkan ataupun memberi pandangan kepada semua pengguna supaya berhati-hati di jalan raya. Biar lambat asal selamat, ingat orang yang tersayang, periksa kenderaan dengan baik sebelum bertolak dan gunakan R&R ini sebagai tempat untuk berehat sekiranya mengantuk ataupun untuk menukar pakaian bayi atau untuk diri sendiri dan sebagainya.
“Dan saya doakan supaya semua selamat sampai dan selamat kembali ke tempat masing-masing. Kalau boleh hasrat kita, kita nak sifarkan kemalangan atau kemalangan jiwa terutamanya dan kalau ini dapat dijayakan Alhamdulillah dan ia bukan sesuatu yang mustahil kalau semua pihak memainkan peranan masing-masing,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

