Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 19 MAC 2025 : Seramai 25 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Tanjung Pahang, di sini menjadi kumpulan pertama menerima sumbangan menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Anak Yatim bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, sumbangan bernilai RM250 diagihkan kepada setiap penghuni rumah berkenaan.
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu meringankan beban anak-anak yatim terutama dalam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.
“Ini yang pertama diadakan di negeri Pahang dan selepas ini kita akan pergi ke lain-lain rumah. Duit ini akan digunakan untuk keperluan anak-anak yatim, untuk sekolah dan sebagainya.
“Boleh juga untuk sambut raya juga. Sebab itu kerajaan memberikan sumbangan ini pada bulan puasa. Boleh belanja puasa dan raya untuk mereka,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan berkenaan, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Rompin, Encik Jumardi Salim.
Dato’ Sabariah juga berkata, program ini akan diperluaskan ke rumah-rumah anak yatim lain di seluruh Pahang secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai anak yatim menerima manfaat di bawah IM Pahang.
“Ini bukti Kerajaan Negeri sentiasa prihatin kepada setiap lapisan masyarakat, dan ini termasuk untuk kluster anak yatim,” katanya.
Beliau justeru itu menasihatkan kepada penerima agar menggunakan bantuan yang diterima sebaik mungkin.
“InsyaAllah dengan kewangan yang baik, Kerajaan Negeri boleh memberikan bantuan kepada mereka dan kita doa supaya pendapatan Kerajaan Negeri akan bertambah dan InsyaAllah mungkin akan bertambah lagi sumbangan untuk mereka,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

