Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 19 MAC 2025 : Pengenalan Zon Khas Waktu Solat Daerah Rompin membabitkan Mukim Rompin, Endau dan Pontian, dengan titik rujukan di Kedaik yang bermula 1 Mac lalu adalah langkah yang tepat dan wajar, titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Paduka Baginda bertitah, isu perbezaan waktu solat dan berbuka puasa di Rompin yang berbeza dengan Mersing sering menjadi persoalan dan kegelisahan dalam kalangan penduduk sejak sekian lama.
“Jarak waktu antara Rompin dan Mersing boleh mencapai perbezaan satu hingga tiga minit pada bulan Ramadan dan sehingga lima minit pada bulan-bulan lain, menimbulkan kekeliruan, terutamanya apabila laungan azan dari Mersing sering kali berkumandang lebih awal.

“Ada juga saya dengar ramai orang di Rompin nak pergi ke Rompin hanya untuk berbuka puasa lebih awal. Tak payah… kita tukar waktu di sini,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Nuzul al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar serta Perasmian Masjid Baharu Kampung Sungai Puteri, di sini semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Paduka Baginda juga bertitah keputusan mengeluarkan Rompin daripada Zon 2 (Kuantan, Pekan dan Muadzam Shah) diambil setelah penelitian mendalam oleh Jawatankuasa Falak Negeri Pahang bersama para pakar dalam bidang hisab dan astrometri.

“Perbezaan waktu yang ketara antara Rompin dengan sempadan daerah Johor, khususnya di Mersing dan Endau diambil kira dalam keputusan ini,” titah baginda.
Justeru, Al-Sultan Abdullah berharap umat Islam di daerah ini dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan yakin tanpa rasa ragu-ragu terhadap waktu solat dan berbuka puasa.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar lebih ramai huffaz, pemikir Islam berpandukan wahyu dan insan yang mengangkat al-Quran sebagai pedoman kehidupan dapat dilahirkan di negeri ini.
“Dengan izin Allah, marilah kita bersama-sama menjadikan negeri Pahang ini sebagai serambi ilmu dan ketakwaan, negeri yang makmur dan sejahtera di bawah naungan al-Quran dan sunnah.
“Biarlah syiar Islam bersinar gemilang, menyuluh setiap sanubari agar setiap generasi mewarisi kecintaan terhadap al-Quran dan teguh berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda lagi. – PAHANGMEDIA

