Oleh : Safiah Hanani Norhalizan & Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 13 MAC 2025 : Bantuan Khas Kewangan Aidilfitiri kepada penjawat awam Negeri Pahang yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, semalam, dapat meringankan beban kakitangan awam negeri ini dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Kakitangan di Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Abdul Mutalib Mohd Ali, 50, berkata, bantuan khas kewangan yang diberikan mampu meringankan beban dia sekeluarga dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri.

“Saya dikesempatan ini ingin mengucapkanlah setinggi-tinggi penghargaan terima kasih sebanyak-banyaknya untuk YAB Menteri Besar Pahang dan seluruh pengurusan tertinggi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ni sendiri.
“Saya ingin mengucapkan rasa syukur dan terima kasihlah sebanyak-banyaknya kepada pengurusan dan Kerajaan Negeri Pahang ni,” katanya.
Katanya, jumlah RM1,000 yang diberikan amat besar nilainya bagi golongan penjawat awam yang berpendapatan rendah.
“InsyaAllah kita guna untuk perbelanjaan raya dan sedikit lebih-lebih itu kita akan fikirkan untuk sumbangan kepada anak-anak saudara untuk duit raya, InsyaAllah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Bagi Jurutera Awam Kanan Badan Kawal Selia Air Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Khairul Najah Ishak, 40 pula, bantuan khas terbabit akan digunakan sebaik mungkin.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada YAB Dato’ Sri Menteri Besar Pahang, Tok Wan kita, kerana telah memberikan sumbangan raya sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri pada tahun ini dan insyallah akan digunakan dengan sebaiknya untuk persiapan raya dan akan memberikan sedikit sumbanganlah kepada anak-anak yang lebih untuk memeriahkan persiapan raya lagi.
“Dan bagi pihak Badan Kawal Selia Air juga, kami sebenarnya memberikan pendapatan daripada hasil perjanjian Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor untuk khasnya kepada rakyat Negeri Pahang jugalah, Selamat Hari Raya, Terima Kasih Tokwan,” katanya.

Manakala bagi kakitangan Unit Modal Insan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Pahang, Ahmad Naim Abdul Mubin, 33, pula, sumbangan berkenaan membuktikan keprihatinan YAB. Menteri Besar dan Kerajaan Negeri terhadap kakitangannya.
“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Dato’ Sri Diraja atas keprihatinan untuk bonus raya tahun ni dan dengan bonus raya bantuan khas kewangan ni sedikit sebanyak meringankan beban untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ni,” katanya.

Dalam pada itu Ab Aziz@Mohd Azahar Mohd Hassan, 60, seorang pengawal keselamatan di bahagian khidmat pengurusan, turut tidak melepaskan merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang.
“Terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang dan pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

