Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 25 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mempertahankan kepentingan hutan kepada kehidupan.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang, Ybhg. Encik Zainal Abidin Othman manakala Universiti Kebangsaan Malaysia pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), YBrs. Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut menyaksikan majlis perjanjian berkenaan adalah Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Pengurusan Biodiversiti, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YBrs. Ts. Dr. Khairul Naim Adham; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Shahrim Md. Zain pada Majlis Sambutan Hari Rizab Biosfera Antarabangsa 2024 Di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC).
Menurut YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin, Kerajaan Negeri Pahang komited dalam pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan, termasuk melestarikan Tasik Chini sebagai kawasan rizab biosfera bagi manfaat kepada masyarakat dan generasi akan datang.
“Di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pengurangan kesan perubahan iklim, pengurusan sumber alam semula jadi, dan promosi teknologi hijau dalam pembangunan.
“Penubuhan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) adalah langkah strategik untuk memelihara ekosistem penting seperti Tasik Chini, menyediakan ruang untuk kajian sains dan pendidikan alam sekitar.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan alam sekitar dan memastikan pembangunan tidak menjejaskan ekosistem semulajadi, dengan harapan kerjasama ini dapat memastikan Rizab Biosfera Tasik Chini terus terjaga untuk manfaat masyarakat dan alam sekitar,” katanya. -PAHANGMEDIA

