PEKAN, 23 FEBRUARI 2025 : Rejimen 505 Askar Wataniah (AW) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-45 bertempat di Padang Kawad Kem Force 136, di sini, semalam.
Satu perbarisan rasmi diadakan dan disempurnakan oleh Komander Rejimen 505 (AW), YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana ia turut disertai dengan pembukaan latihan Askar Wataniah bagi tahun 2025.
Perbarisan tersebut diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-2, Lt. Kol. Mohd Zamri Wahab, melibatkan 15 pegawai dan 155 anggota lain-lain pangkat (LLP).

Acara bermula dengan tabik hormat kepada YAM Komander Rejimen 505 (AW), diikuti pemeriksaan perbarisan serta upacara pemakaian pangkat melibatkan seorang pegawai dan 29 anggota LLP.
YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dalam ucapannya menegaskan bahawa Askar Wataniah merupakan benteng kedua pertahanan negara dan memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Beliau turut menjelaskan konsep Angkatan Simpanan yang diperkenalkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM), yang mengandungi dua komponen utama iaitu Simpanan Angkatan Tetap (SAT) dan Simpanan Sukarela, juga dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.
“Cogan kata Askar Wataniah adalah berkhidmat untuk negara, merupakan aspirasi dan keprihatinan anggota Askar Wataniah yang bersediah berkhidmat untuk negara apabila diperlukan.

“Sentiasa rela berkorban masa dan tenaga demi kepentingan tanah air yang tercinta terutama semasa negara memerlukan khidmat anda,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang dinaikkan pangkat dan menerima anugerah kecemerlangan justeru berharap agar mereka lebih komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Dalam hal ini, saya berkehendakkan saudara-saudari sentiasa bekerjasama di antara satu sama lain serta menunjukkkan semangat setiakawan yang tinggi pada setiap masa.
“Saya faham bahawa latihan ketenteraan ini menuntut daya ketahanan fizikal serta mental yang kental di mana kesabaran saudara-saudari akan sentiasa diuji, namun dengan ketabahan dan kegigihan saudara-saudari, saya yakin anda mampu mengatasi cabaran dengan jayanya,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Komander Rejimen 505 (AW), Lt. Kol. Ahmad Zakhuan Yahya, YHM Tok Muda Lt. Kol. Tengku Dato’ Mohd Najirulzamal Tengku Dato’ Jamaluddin, Lt Kol Dato’ Tan Kee Fat dan Lt Kol Dato’ Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman.-PAHANGMEDIA

