Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Hasuzila Hashim
LIPIS, 21 FEBRUARI 2025 : Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) menjadi serampang dua mata Kerajaan Negeri Pahang dalam mendekati rakyat serta menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, sebagai bukti Kerajaan Negeri Pahang komited dalam memastikan hal ini tercapai, semua ketua jabatan telah digerakkan bagi bertemu secara terus dengan rakyat.
“Kita datang ini dengan tujuan untuk selesaikan dengan cepat maknanya kita tak lepaskan ketua-ketua jabatan daerah, bukan kita tak percaya, kita percaya, tetapi kali ini ketua-ketua jabatan negeri sendiri yang datang.
“Itu menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB. Dato’ Sri Diraja Menteri Besar kita untuk mendekati rakyat dengan sebaiknya dan cuba untuk menyelesaikan masalah mereka dengan cepat.
“Sebab kita faham speed ini satu isu yang besar kepada mereka. Mereka nak cepat. Tapi kalau kita tak boleh cepatkan pun, kita boleh menerangkan kenapa kita tak boleh cepat, dan langkah-langkah yang kita ambil untuk selesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Townhall Bersama Rakyat di SMK Sungai Koyan yang turut dihadiri YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim; dan ketua-ketua jabatan.
Beliau berkata sentuhan personal secara terus kepada rakyat juga amat diperlukan bagi menjelaskan sebarang isu yang dikemukakan oleh rakyat melalui pihak terlibat.
“Maknanya personal touch itu ada dan kita akan gunakan personal touch ini untuk selesaikan masalah. Sebab itu kita datang ramai-ramai hari ni.
“Apa sahaja masalah berkaitan rumah ke, tanah ke, api ke, air ke, kebun ke, ternakan ke, kita nak selesaikan sebaiknya.
“Dan apa-apa penyelesaian yang dah kita sebut tadi, kita akan monitor, ketua-ketua jabatan kene beri jawapan kepada kita sama ada apa yang mereka telah jelaskan itu telah diselesaikan,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat akan berpuas hati dengan tindakan yang telah diputuskan dan bakal diambil selepas ini bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik dari kerajaan. -PAHANGMEDIA

